Saturday, September 1, 2012

Ambil alih pinjaman peneroka


KUALA LUMPUR 29 Ogos - Felda akan mengambil alih pinjaman bank yang dibuat oleh peneroka bagi membeli 800 unit saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) mulai 1 September ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, langkah itu meringankan beban peneroka kerana mereka hanya perlu membayar semula kepada Felda sebanyak RM50 sebulan dalam tempoh lima tahun tanpa dikenakan sebarang faedah.
Menurut beliau, Felda memperuntukkan sebanyak RM360.7 juta untuk melunaskan pinjaman peneroka termasuk faedah kepada 10 bank.
"Peruntukan tersebut merupakan sebahagian daripada keuntungan kira-kira RM6 bilion yang diperolehi Felda hasil penyenaraian FGV di Bursa Malaysia.
"Memandangkan Felda ada lebihan dana, kita gunakan sebahagian daripadanya untuk membantu peneroka yang masih belum melunaskan pinjaman dengan bank," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menutup Kem Anak Muda Generasi Muda Felda (Kemuda) dan Kursus Induksi Permuafakatan Siswa-Siswi Felda (Persada) 2012 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, dekat sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) Felda, Faizoull Ahmad.
Bagaimanapun, jelas Ahmad, kira-kira 7,000 peneroka yang telah menjual saham FGV mereka serta melunaskan pinjaman bank tidak terlibat dalam langkah pengambilalihan itu.
Sementara itu, beliau menegaskan, pihak pembangkang membuat tuduhan tidak berasas apabila mendakwa sebahagian besar saham FGV dimiliki oleh syarikat asing.
"Peneroka memiliki sebanyak 22.5 peratus saham FGV dan sejumlah 17 peratus saham dimiliki oleh Felda. Pemilikan 39.5 peratus saham menjadikan peneroka dan Felda sebagai pemegang saham utama dalam FGV," ujarnya.
Menurut Ahmad, pemegang-pemegang utama saham FGV yang lain termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji, Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP), kerajaan-kerajaan negeri dan kakitangan Felda.

No comments:

Post a Comment