Thursday, September 27, 2012

Gelanggang Futsal 1Malaysia di Kampung Baru, Kuala Benut


Ahmad Maslan (memegang bola) bergambar bersama penduduk selepas majlis perasmian Gelanggang Futsal 1Malaysia di Kampung Baru, Kuala Benut, Pontian, baru-baru ini.

PONTIAN 25 Sept. - Setelah sekian lama menanti penduduk Kampung Baru, Kuala Benut dan beberapa kampung sekitarnya kini mempunyai gelanggang Futsal 1Malaysia untuk beriadah.
Gelanggang Futsal 1Malaysia dibina dengan kos RM150,000 itu merupakan yang kelapan di kawasan Parlimen Pontian dan dilengkapi kemudahan lampu limpah, tandas dan bilik air.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru, Amri Ahmad berkata, dengan adanya gelanggang itu penduduk terutamanya golongan muda dapat menggunakannya untuk beriadah.
Menurutnya, sebelum ini mereka terpaksa menumpang di gelanggang yang jauhnya kira-kira tiga kilometer dan terpaksa menunggu giliran namun kadang-kala tidak dapat bermain kerana gelanggang penuh.
"Anak-anak muda kami kini tidak perlu bersusah payah berjalan jauh bermain futsal dan mereka boleh bermain tidak kira siang atau malam kerana gelanggang ini dilengkapi lampu limpah.
"Begitu juga dengan beliawanis dan golongan wanita yang boleh menggunakannya untuk bermain bola jaring apabila tiang gol diperoleh tidak lama lagi," katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis perasmian gelanggang itu yang disempurnakan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri meminta penduduk terutamanya golongan muda memanfaatkan gelanggang futsal tersebut dan menjaganya dengan baik.

No comments:

Post a Comment