Saturday, September 1, 2012

Peneroka tak terikat tempoh jual saham

Serdang: Peneroka FELDA kini tidak lagi terikat dengan tempoh penjualan balik saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) apabila hutang mereka dengan bank diselesaikan FELDA mulai Sabtu ini.

Ketika ini, peneroka yang membeli saham FGV mendapatkan pembiayaan kewangan dari 10 konsortium bank dan terikat dengan kadar faedah dan syarat penjualan balik saham. 


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, FELDA akan membuat bayaran pinjaman bank sebanyak RM360.7 juta bagi membiayai sepenuhnya 800 unit saham yang diberi kepada setiap peneroka. 

Beliau berkata, peneroka hanya perlu membuat pinjaman tanpa faedah dengan FELDA sebanyak RM50 sebulan bagi tempoh lima tahun dengan dividen dimiliki mereka sepenuhnya.


Bebas jual saham

“Kita akan ambil alih hutang peneroka dengan bank, peneroka juga tidak perlu mohon (kepada FELDA) kerana ia akan dibuat secara automatik melalui penyata bayaran.

“Peneroka tidak lagi terikat dengan bank, bila mahu jual saham...terpulang kepada mereka untuk pegang (saham) sampai bila-bila, tiada syarat ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas merasmi majlis penutup Kem Anak Muda Generasi FELDA (Kemuda) dan Kursus Induksi Permuafakatan Siswa Siswi FELDA (Persada) di sini, semalam. 
Hampir 300 pemimpin pelajar generasi kedua FELDA dari 20 institut pengajian tinggi awam menghadiri program selama tiga hari dua malam di Universiti Putra itu.

Mengulas tindakan kelewatan FELDA membiayai pinjaman saham berkenaan sehingga menyebabkan peneroka membuat pinjaman bank yang mengenakan faedah tinggi, Ahmad yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, keadaan itu berlaku berikutan pihaknya tidak menjangka keuntungan yang diperoleh.


Untung bantu peneroka

“Kita tak bagi (pinjaman ini) sebelum ini sebab kita tak jangka berapa keuntungan yang kita dapat. Tapi akhirnya kita dapat RM10 bilion, RM6 bilion untuk FELDA dan RM4 bilion untuk FGV, jadi kita ada dana lebihan untuk kita bantu lagi peneroka,” katanya.

Difahamkan, hampir 5,000 peneroka sudah menjual saham mereka manakala 2,000 lagi membeli saham tanpa pinjaman bank.

Mengenai dividen awal FGV sebanyak RM400, beliau berkata FGV akan membuat bayaran segera.
“Mereka (FGV) sudah beritahu Suruhanjaya Sekuriti untuk interim dividen ini,” katanya.


Pelaburan tanpa had

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, saham Koperasi Permodalan Felda Bhd (KPF) bagi generasi kedua dibuka untuk pelaburan tanpa had berbanding saham KPF sebelum ini yang mengenakan had pelaburan sebanyak RM250,000 bagi setiap keluarga peneroka.

Majoriti ahli KPF terdiri peneroka serta anak dan isteri mereka, badan peneroka dan pegawai serta kakitangan FELDA. Tahun ini KPF membayar dividen sebanyak 18 peratus berjumlah RM388 juta.

No comments:

Post a Comment