Monday, September 24, 2012

Selat Melaka selamat dari ancaman lanun


PUTRAJAYA 10 Sept. - Hampir tiada langsung kes ancaman lanun terhadap kapal dagang yang melalui kawasan perairan Selat Melaka dilaporkan sepanjang tempoh tiga tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata, dalam tempoh itu kapal-kapal dagang bebas melalui selat tersebut tanpa perlu risau terhadap keselamatan diri atau dirompak.
Katanya, ia hasil pemantauan berterusan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang mengawal perairan negara selama 24 jam setiap hari.
"Dalam setahun lebih 90,000 kapal dagang melalui Selat Melaka namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini aktiviti lanun semakin berkurangan.
"Pada 2009 dan 2010 tiada langsung laporan serangan lanun tetapi pada 2011 terdapat dua kes tetapi itu pun tidak melibatkan kapal dagang," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Maritim Malaysia, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Amdan Kurish.
Menurut Ahmad, sebelum Maritim Malaysia memainkan peranan aktif membanteras serangan lanun di perairan negara setiap tahun angka kes tersebut berada pada tahap yang membimbangkan.
Namun, katanya, sejak agensi itu ditubuhkan kira-kira tujuh tahun lalu aktiviti lanun semakin terkawal dan berkurangan.
"Selat Melaka selamat disebabkan kewujudan Maritim Malaysia, ini membuktikan keberkesanan agensi penguatkuasaan itu dalam mengawal perairan negara dan laluan kapal dagang," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, sebuah ibu pejabat baru Maritim Malaysia akan dibina dalam masa terdekat ini.
Katanya, antara lokasi yang dicadangkan adalah Cyberjaya dan Pelabuhan Klang bagi menempatkan segala operasi agensi tersebut.
Sementara itu, Mohd. Amdan berkata, sepanjang tempoh lapan bulan ini pihaknya telah melakukan sebanyak 16,984 pemeriksaan di perairan negara di mana daripada jumlah itu sebanyak 474 melibatkan kes tangkapan.
Katanya, jumlah itu menunjukkan penurunan kes jenayah maritim kepada 2.79 peratus berbanding 4.22 peratus pada tahun sebelumnya.
"Selain itu, pada tahun ini juga sebanyak 38 bot nelayan asing telah ditahan dan telah menghasilkan kutipan denda hampir RM7.5 juta dan jumlah keseluruhan yang ditahan sejak 2006 ialah sebanyak 562 bot.
"Dari segi bantuan mencari dan menyelamat pula, Maritim Malaysia telah menyelamatkan 396 nyawa dalam tempoh lapan bulan tahun ini manakala, jumlah harta benda yang berjaya diselamatkan bernilai lebih kurang RM449 juta," katanya.

No comments:

Post a Comment