Monday, September 24, 2012

Tolak enam amalan politik tidak sihat


KLANG 9 Sept. - Rakyat diingatkan supaya menolak dengan sekeras-kerasnya enam amalan politik tidak sihat yang dibawa oleh pakatan pembangkang di negara ini.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, penolakan itu mesti dibuat ekoran perkembangan sejak kebelakangan ini apabila pembangkang menerapkan amalan politik biadab, bebas, fitnah, hukum, perpecahan serta ganas kepada masyarakat.
Menurutnya, amalan politik sedemikian tidak wajar dijadikan panduan masyarakat negara ini kerana ia akan merugikan masa depan rakyat serta pembangunan negara.
"Sekarang kita lihat berlakunya budaya politik baharu yang tidak sihat dibawa oleh pembangkang seperti politik biadab iaitu memijak gambar pemimpin dan menghina Jalur Gemilang.
"Begitu juga politik bebas apabila mereka merestui amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Klang di sini hari ini.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Klang, Datuk Mazlynoor Abdul Latif.
Selain itu kata Ahmad, wujud juga politik fitnah apabila memparkan tohmahan selain amalan politik hukum seperti sembahyang dua imam, sembelihan orang Barisan Nasional (BN) haram dan mengkafirkan umat Islam.
"Malah, pakatan pembangkang juga mengamalkan politik perpecahan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini, selain politik ganas dalam siri perhimpunan Bersih yang diadakan sebelum ini.
"Maka sewajarnya enam amalan politik ini ditentang habis-habisan oleh semua kaum tidak kira Melayu, Cina atau India kerana ia memecah-belahkan masyarakat," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika mengulas tindakan pengawal peribadi Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa mengacukan pistol kepada orang awam di Melaka semalam menyifatkan ia suatu perkara yang pelik.
Ini kerana katanya, kejadian itu barangkali dikaitkan dengan politik ganas yang diamalkan pakatan pembangkang yang mana kejadian sedemikian tidak pernah berlaku membabitkan mana-mana pemimpin sebelum ini, baik di pihak kerajaan, mahupun pembangkang.
"Perdana Menteri mempunyai berbelas-belas pengawal peribadi, begitu juga Timbalan Perdana Menteri. Selama ini kita dah ada enam Perdana Menteri, tak pernah dengar mereka acu pistol kepada orang.
"Ini baru jadi Ketua Pembangkang, pengawal peribadi dah mengacu pistol kepada orang... peliklah," ujarnya.

No comments:

Post a Comment