Tuesday, September 25, 2012

UMS bangga khidmat bakti Persada



AHMAD Maslan (dua dari kiri) ditemani Kasim Md. Mansur (kanan) bersalaman dengan ahli Persada pada majlis sambutan Merdeka Raya 1Malaysia Persada di Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, baru-baru ini.

KOTA KINABALU 18 Sept. - Kejayaan Permuafakatan Siswa-siswi Felda (Persada) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalankan aktiviti kemasyarakatan mendapat pengiktirafan daripada pihak universiti tersebut.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Datuk Dr. Kasim Md. Mansur berasa bangga dengan kesungguhan Persada dalam menabur bakti kepada orang ramai menerusi aktiviti kemasyarakatan yang dilakukan.
Katanya, kunjungan ahli Persada UMS ke Felda Sahabat di Lahad Datu dan Felda Umas-Umas di Tawau, baru-baru ini merupakan sebahagian bukti pengorbanan siswa dan siswi Persada biarpun sibuk dengan tugasan hakiki sebagai mahasiswa.
Menurutnya, kolaborasi aktiviti kemasyarakatan yang dilakukan turut mendapat kerjasama daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain seperti Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
"Setelah bertapak di UMS sejak 2010 dengan jumlah ahli kurang daripada 100 orang, Persada kini giat menjalankan program bersama IPT lain dan mempunyai kira-kira 130 orang ahli pada masa ini.
"Malah, dengan sokongan berterusan daripada pihak Jabatan Perdana Menteri, saya yakin Persada UMS akan meneruskan kesinambungan sedia ada dan lebih bergiat aktif," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Merdeka Raya 1Malaysia Persada, di sini baru-baru ini.
Hadir sama menceriakan majlis tersebut ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.

No comments:

Post a Comment