Monday, October 1, 2012

61,812 kenderaan perdagangan, awam belum daftar dengan SPAD


KUALA LUMPUR 27 Sept. - Sebanyak 61,812 atau purata 17 peratus pelbagai jenis kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam belum mendaftar dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, kegagalan pendaftaran semula itu disebabkan masalah pengambilalihan daripada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan Kementerian Pelancongan terutamanya bagi Kereta Sewa Pandu serta Bas Pesiaran.
Sehingga minggu ini, ujarnya, sebanyak 301,367 kenderaan daripada 363,179 lesen yang dikeluarkan oleh kedua-dua agensi tersebut mendaftar dengan SPAD.
''Bagi yang masih belum mendaftar selepas 31 Januari 2012, mereka dikenakan denda sebanyak RM100 bagi setiap permit syarikat dan RM50 (individu) serta tiada tarikh tutup untuk proses pendaftaran semula.
''Ini kerana mereka telah diberi tempoh selama 10 bulan bermula 1 April 2011 hingga Januari 2012," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Seri Ong Ka Chuan (BN-Tanjung Malim) di Dewan Rakyat hari ini.
Ka Chuan ingin tahu tentang bilangan lesen kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam yang terlibat dalam operasi pendaftaran semula dengan SPAD.
Sementara itu, menurut Ahmad, bagi memastikan pengangkutan awam lebih efisien dari segi kos, keselamatan dan kelestarian, kerajaan sedang menjalankan kajian Dasar Pengangkutan Awam Negara.
''Dasar tersebut akan memberi keutamaan terhadap tiga aspek iaitu integrasi antara pengangkutan awam, membolehkan akses ke tempat kerja dan menghubungkan kawasan bandar serta luar bandar.
''Draf akhir dasar itu sudah pun siap, hanya menunggu kelulusan Kabinet dan akan dimuktamadkan untuk pelaksanaan pada hujung tahun ini," katanya.
Jelasnya, selepas dasar tersebut ditetapkan, dasar pengangkutan awam untuk setiap negeri pula akan digubal.

No comments:

Post a Comment