Monday, October 22, 2012

Nelayan Johor dapat RM47.9j



AHMAD Maslan (tengah) menyerahkan replika cek berjumlah RM113,700 kepada wakil PNK Pontian bagi bantuan sara hidup di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian, Johor, kelmarin.

PONTIAN 19 Okt. - Sebanyak RM47.9 juta telah diagih-agihkan sebagai bayaran Elaun Sara Hidup nelayan di negeri ini sejak 2009 melibatkan seramai 4,907 penerima.
Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri, Abdullah Ismail berkata, bayaran elaun itu melibatkan 3,338 pemilik bot dan 1,569 pekerjanya serta diuruskan oleh sembilan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) iaitu Pontian, Muar, Batu Pahat, Mersing, Sedili, Johor Selatan, Pengerang, Endau dan Ledang.
"Golongan nelayan merupakan kelompok yang bertuah berbanding beberapa bidang pertanian lain yang tidak memperoleh bayaran sara hidup seperti yang dinikmati oleh mereka," katanya pada majlis penyampaian bayaran elaun itu kepada ahli PNK Pontian di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini semalam.
Elaun berkenaan disampaikan oleh Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Yang turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong dan Pengurus Besar PNK Pontian, Alias Salam.
Abdullah berkata, selain insentif tersebut, LKIM negeri juga telah menyalurkan bayaran sebanyak RM7.5 juta di bawah program pendaratan ikan dengan kadar 10 sen sekilogram kepada golongan nelayan.
"Insentif tersebut diharap menggalakkan nelayan mendaratkan hasil tangkapan mereka di tempat-tempat yang disediakan oleh pihak LKIM bagi mengelakkan negara mengalami kerugian hasil tangkapan laut," katanya.
Selain itu, katanya, nelayan yang ditimpa musibah atau kemalangan ketika di laut turut menerima bantuan daripada LKIM dan jumlah yang telah disalurkan sejak 2004 berjumlah RM684,000.
Bagi Program Perumahan Nelayan (PPN) di bawah pakej baik pulih rumah, sebanyak RM12.2 juta telah diperuntukkan kepada mereka yang layak melibatkan seramai 1,468 penerima.
Menurutnya, bagi meningkatkan taraf hidup golongan berkenaan, kerajaan juga menubuhkan dana untuk mereka menceburi pelbagai bidang yang boleh memberikan pendapatan tambahan.
"Hingga kini, sebanyak RM3.3 juta telah disalurkan kepada 221 penerima yang melibatkan pelbagai bidang, sekali gus mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan," katanya.

No comments:

Post a Comment