Tuesday, October 23, 2012

Prasekolah mesti diutamakan




PONTIAN 22 Okt. - Para ibu bapa diingatkan menggunakan peluang pendidikan prasekolah yang disediakan kerajaan sepenuhnya untuk memastikan anak-anak mereka bersedia mengharungi suasana persekolahan sebenar.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, menerusi pendidikan prasekolah anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) selain Kementerian Pelajaran dan Jabatan Perpaduan dan Intergrasi Nasional, kanak-kanak akan didedahkan dengan pendidikan awal yang membolehkan mereka menguasai kemahiran menulis, membaca dan mengira (3M).
"Banyak negara yang cemburu dengan sistem pendidikan negara kita kerana cukup lengkap bermula di usia kanak-kanak sehinggalah mereka dewasa berbanding di negara-negara membangun lain.
"Sewajarnya, masyarakat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa mengambil berat aspek pendidikan bagi melahirkan modal insan yang berguna pada masa depan," katanya.
Beliau berucap merasmikan majlis penyampaian hadiah gabungan tiga Tabika Kemas iaitu Tabika Kemas Parit Semerah, Pontian Besar Kiri dan Pusat Kegiatan Tiga di Dewan Serbaguna Kampung Parit Semerah, di sini semalam.
Yang turut hadir, Pegawai Kemas Daerah Pontian, Lukman Nordin.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, masa depan negara bergantung kepada generasi muda yang dibekalkan dengan ilmu pengetahuan yang cukup selain sahsiah diri dan kekuatan iman.
"Ibu bapa perlu bersama-sama membentuk anak-anak mereka di usia muda bagi mendorong mereka berjaya dalam bidang pelajaran di samping kegiatan luar lain," katanya.
Beliau berkata, dalam Bajet 2013, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengekalkan pemberian bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada setiap pelajar bagi meringankan beban kewangan ibu bapa.
"Kita perlu bersyukur dan berterima kasih dengan segala usaha yang dilakukan kerajaan bagi memacu pendidikan di negara ini bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada 2020," katanya.

No comments:

Post a Comment