Monday, October 22, 2012

Segerakan permit teksi individu




JOHOR BAHRU 18 Okt. - Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma) Daerah Johor Bahru menyambut baik cadangan pengagihan permit teksi kepada individu dan berharap perkara itu dilaksanakan segera.
Pengerusinya, Jefry Jaafar berkata, setakat ini kira-kira 80 peratus daripada ahli yang mendaftar dengan Petekma Daerah Johor Bahru terdiri daripada pemandu teksi yang tidak mempunyai permit individu.
“Usul pemberian permit individu ini telah lama dikemukakan Petekma.
“Saya percaya pemberian permit individu secara lebih meluas akan dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan pengangkutan teksi selain membantu mengurangkan kos tanggungan pemandu teksi," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri sesi taklimat Skim Perlindungan Takaful Berkelompok Pemandu Teksi 1Malaysia di pejabat Petekma Daerah Johor Bahru di sini hari ini.
Jefry mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dalam sidang Dewan Rakyat semalam berhubung cadangan kerajaan memberi sejumlah permit teksi kepada individu yang layak dalam usaha membaiki sistem penyewaan teksi.
Menurutnya, pada masa ini, pemandu yang menyewa kenderaan syarikat terpaksa membayar sewa sebanyak RM45 sehari tidak termasuk kos lain yang perlu ditanggung seperti kerosakan kenderaan.
“Sebab itu, kebanyakan teksi sekarang keadaannya amat teruk kerana pemandu yang tidak ada permit individu tidak mampu membaikinya dengan segera kerana mereka masih perlu membayar sewa RM45 sehari," katanya.
Sementara itu, seorang pemandu teksi, Abdul Rahman Salleh, 60, berkata, walaupun telah bekerja sebagai pemandu teksi sejak lebih 20 tahun lalu namun dia belum mendapat permit individu sehingga kini.
“Selama lebih 20 tahun saya terpaksa membayar sewa harian kepada pihak syarikat kerana permohonan mendapatkan permit individu masih belum diluluskan.
“Saya berharap pemberian permit individu ini dapat dilaksanakan segera dengan memberi keutamaan kepada pemandu yang berusia 40 hingga 65 tahun," katanya.

No comments:

Post a Comment