Monday, October 15, 2012

Semua Pihak Perlu Bantu Kempen Atasi Lebih Tiga Juta Belum Jadi Pengundi


PUTRAJAYA,  – Agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan dan parti politik disaran membabitkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada program mereka untuk meningkatkan kesedaran rakyat mendaftar sebagai pemilih.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata peranan pelbagai pihak amat penting bagi menangani isu lebih tiga juta rakyat Malaysia berusia 21 tahun ke atas yang belum mendaftar sebagai pemilih.
“Kita harap dalam apa sahaja program besar atau yang melibatkan pemimpin, ada ruang pameran SPR ini supaya memudahkan orang ramai mendaftar. Mereka boleh mohon (diadakan ruang pameran) dari SPR,” katanya selepas majlis penyerahan cek tajaan kepada Kelab Ragbi Sekolah Menengah Sains Johor Alumni(Sajoha) Vikings, di sini hari ini.
Ahmad yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata  pendaftaran pemilih perlu dibuat secara berterusan, tidak kira bila pilihan raya akan diadakan.
Beliau berkata dalam sektor awam pula, peranan ketua jabatan penting untuk memastikan warga jabatan mereka mendaftar sebagai pemilih.
Pada masa yang sama beliau menolak isu tiga juta rakyat belum mendaftar sebagai pengundi itu sebagai antara punca pilihan raya umum ke-13 belum diadakan.
“Pada saya mungkin ada banyak lagi dalam fikiran beliau (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk dilaksanakan. Tetapi beliau boleh mengadakan pilihan raya bila-bila masa sahaja,” katanya.
Mengenai majlis penyerahan cek tajaan sebanyak RM50,000 daripada Galaxy Multitrade Resources kepada Kelab Ragbi Sajoha Vikings, Ahmad yang juga alumni sekolah itu berkata sumbangan diharap dapat membantu kelab berkenaan melahirkan lebih ramai pemain ragbi untuk beraksi di peringkat lebih tinggi.
Katanya kelab itu bukan sahaja ditubuhkan untuk alumni sekolah berkenaan tetapi juga untuk mencari bakat baru dalam sukan ragbi.

No comments:

Post a Comment