Monday, October 15, 2012

'Sengaja timbul persepsi jahat'


KUALA LUMPUR 4 Okt. - Felda menafikan dakwaan Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman bahawa 400 juta unit saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) dimiliki oleh Genting Berhad.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, dakwaan itu sengaja dilakukan bagi memberi gambaran palsu dan menimbulkan persepsi jahat kepada peneroka tentang penyenaraian FGV di Papan Utama Bursa Malaysia.
Tegas beliau, semasa proses pra-IPO, tiada saham yang diperuntukkan kepada Genting Berhad dan mengikut peraturan Bursa Malaysia, mana-mana pemilikan baru saham yang melebihi 5 peratus perlu diumumkan melalui laman Pengumuman Bursa Malaysia.
"Sekiranya Genting Berhad memiliki 12 peratus saham dalam FGV, Genting perlu memfailkan notis pemilikan saham tersebut.
"Bagaimanapun, sehingga kini tiada notis yang difailkan oleh Genting kepada FGV," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Besar Felda, Faizoull Ahmad, Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Anuar Abdul Manap, Timbalan Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi FELDA (GWGF), Datuk Abdullah Abu Bakar dan Pengarah Jabatan Inovasi dan Pembangunan Generasi Baru Felda, Abdul Malek Jalil.
Beliau mengulas kenyataan Mazlan di dalam artikel bertajuk '400 juta unit saham FGVH dimiliki Genting' yang disiarkan oleh lidah rasmi Pas, Harakah pada 10 September lalu.
Menurut Ahmad, pemegang saham terbesar FGV adalah Tabung Amanah Peneroka iaitu sebanyak 20 peratus dan diikuti Felda Asset Holdings Company Sd. Bhd. sebanyak 17 peratus.
"Pemegang saham terbanyak selepas itu pula dimiliki oleh Lembaga Tabung Haji iaitu sebanyak 7.78 peratus dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 7.49 peratus.
"Jadi macam mana dia (Mazlan) boleh kata Genting ada 12 peratus?" katanya sambil menunjukkan senarai pemegang saham dalam FGV kepada pemberita.
Menjawab dakwaan Mazlan dalam artikel bertajuk 'KWSP selamatkan Felda' yang disiarkan di dalam lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Suara Keadilan pada 25 September lalu, Ahmad Maslan berkata, ia juga merupakan satu lagi fitnah yang dibuat tanpa asas yang kukuh.
Menurut Ahmad, semasa penyenaraian, KWSP memegang 184.7 juta unit saham FGV namun jumlah tersebut dianggap terlalu kecil berbanding saham syarikat iaitu sebanyak 3.6 bilion unit.
Oleh yang demikian, katanya, KWSP memohon untuk menambah pelaburan di dalam FGV selepas penyenaraian dan sehingga kini, unit sahamnya meningkat kepada 273.3 juta (7.49 peratus).
"Nilainya (unit saham) hampir sama dengan Lembaga Tabung Haji dan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP).
"Jadi tidak timbul bahawa KWSP selamatkan Felda kerana kita cuma selaraskan dengan yang lain-lain," katanya.
Ahmad turut menafikan kenyataan Penasihat Ekonomi Anak, Dr. Rosli Yaakob yang disiarkan melalui Harakah dalam artikel bertajuk 'Penyenaraian membawa kerugian sebanyak kira-kira RM2 bilion kepada Felda dan FGV'.
Beliau berkata, penyenaraian FGV telah memberi perolehan dana sebanyak RM9.9 bilion kepada Felda dan FGV seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2013 baru-baru ini.
Beliau juga menafikan beberapa artikel lain seperti 'Kejatuhan saham Felda Global Ventures (FGV)', 'Dividen Interim langgar prosedur' dan 'Laporan Kewangan Interim tidak diaudit' yang disiarkan di kedua-dua buah akhbar propembangkang itu.
Menjawab pertanyaan pemberita sama ada pihaknya akan memfailkan saman, beliau berkata perkara itu akan dipertimbangkan kerana sebelum ini Felda pernah menyaman Suara Keadilan berhubung artikel yang juga berunsur fitnah.
"Saya akan berbincang dengan pihak pengurusan sama ada akan mengambil tindakan saman atau tidak.
"Apa yang saya harapkan ketika ini adalah hentikanlah fitnah ke atas Felda, daripada membuat fitnah lebih baik kita sama-sama bangunkan Felda ini," katanya.

No comments:

Post a Comment