Friday, October 26, 2012

SPAD tarik semula STK 6,602 teksi


KUALA LUMPUR 24 Okt. - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan menarik semula 6,602 Surat Tawaran Kelulusan (STK) teksi yang gagal dilesenkan pemiliknya walaupun mereka diberi tempoh setahun untuk menyelesaikannya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, tindakan itu diambil bagi mengawal keseimbangan permintaan dan penawaran perkhidmatan teksi serta mengurangkan jumlah teksi di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 5,174 teksi dimiliki oleh syarikat; 1,024 teksi milik individu; 366 teksi milik koperasi; 30 teksi milik persatuan dan dua teksi dimiliki secara perkongsian.
Beliau menjelaskan, notis pembatalan STK telah dihantar kepada 1,130 pemilik teksi terbabit manakala sebanyak 519 notis peringatan pembatalan telah dihantar kepada pemilik yang memiliki STK yang masih sah sehingga Februari 2013.
‘‘SPAD tidak bercadang untuk menarik semula permit teksi sedia ada yang kini berjumlah 79,655. Sebaliknya, suruhanjaya itu hanya akan menarik semula STK untuk teksi-teksi yang gagal dilesenkan dalam tempoh yang diberikan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Kasim (PKR-Kuala Kedah) berhubung keputusan SPAD yang dikatakan akan menarik semula kira-kira 7,000 permit teksi tidak aktif di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Ahmad, langkah menarik semula STK itu sekali gus memberi peluang kepada pemandu teksi sedia ada untuk memperoleh pendapatan lebih memuaskan.
Beliau memberitahu, salah satu justifikasi tindakan memberi permit teksi kepada individu adalah untuk membolehkan pemandu teksi yang menyewa dari syarikat memiliki permit teksi sendiri.
‘‘Syarat-syarat tentang langkah tersebut sedang dirangka oleh SPAD," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Ahmad berkata, SPAD akan mengambil tindakan membatalkan permit teksi pemilik yang didapati melakukan kesalahan melanggar syarat permit seperti tidak menggunakan meter atau menggunakan khidmat pemandu yang tidak memiliki lesen memandu kenderaan awam (PSV) yang sah.
Jelas beliau, tindakan juga akan diambil terhadap pemilik teksi yang tidak memenuhi syarat berkaitan pemeriksaan berskala dengan Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom).

No comments:

Post a Comment