Sunday, October 28, 2012

UMNO belum bercadang umum awal calon PRU


KUALA LUMPUR: UMNO belum bercadang untuk mengumumkan lebih awal calon yang layak bertanding pada pilihan raya umum akan datang, kata Ketua Penerangannya, Datuk Ahmad Maslan. 

Katanya, langkah itu bagi mengelak perbuatan sabotaj termasuk mereka yang tidak dipilih mewujudkan 'pasukan' bagi menjatuhkan calon yang dipilih. 

"Dalam satu kawasan ada sekurang-kurangnya tiga nama yang dicadang tapi hanya satu akan dipilih. Mereka ini dipilih kerana parti percaya mereka adalah 'winnable candidate' (calon boleh menang). 


"Segalanya belum berakhir kepada mereka yang tidak dipilih. Mereka seharusnya mengutamakan parti dan bukan diri sendiri, bukan berdiam diri berkecil hati dan cuba sabotaj parti," katanya kepada pemberita selepas program turun padang mengedarkan risalah 'Bajet 2013' di sekitar Pasar Borong Selayang, di sini hari ini. 

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, mengulas gesaan daripada beberapa pemimpin Barisan Nasional agar calon yang akan bertanding diumum lebih awal untuk menangani kemungkinan wujud perbuatan sabotaj. 

Ahmad bagaimanapun mengakui ada kebaikan jika pengumuman calon dibuat lebih awal termasuk membolehkan calon berkenaan membuat persiapan dan promosi awal. 

"Namun kepimpinan parti belum ada lagi komitmen mengenai cadangan itu," katanya. Terdahulu, Ahmad mengedarkan kira-kira 3,000 risalah penerangan mengenai Bajet 2013 di sekitar kawasan tersebut. 

Beliau turut menemui peniaga dan pembeli barangan basah dan menjelaskan mengenai inti pati belanjawan tersebut. 

Mengulas mengenai program hari ini, Ahmad berkata, pemimpin dan wakil rakyat yang dipilih perlu turun padang dan beri penjelasan dan penerangan khusus mengenai inti pati Belanjawan 2013. 

Katanya, rata-rata masyarakat gembira apabila ada pemimpin turun padang dan jelaskan mengenai program yang dilakukan kerajaan termasuk belanjawan. 

"Mereka mahu bersemuka dan bertanyakan soalan selain bertukar pandangan dan pendapat dengan pemimpin. Dengan cara ini mereka akan dapat maklumat secara terus dan lebih tepat lagi," katanya.

No comments:

Post a Comment