Monday, November 5, 2012

BN pastikan kehidupan Orang Asli terus terjamin


KUALA LUMPUR 4 Nov. - Barisan Nasional (BN) akan terus berusaha sedaya upaya memastikan kebajikan masyarakat Orang Asli di negara ini sentiasa terpelihara.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, di samping itu, mobiliti sosial masyarakat berkenaan juga akan terus dilonjakkan sejajar kemajuan negara.
Menurutnya, usaha itu termasuk memastikan masyarakat Orang Asli menerima kira-kira 1,200 hektar tanah di Selangor yang sehingga kini belum diwartakan kerajaan negeri Selangor pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada masyarakat berkenaan.
"Perkara ini hanya boleh direalisasikan dengan pertukaran kerajaan negeri. Bagi BN, pembangunan masyarakat Orang Asli sentiasa menjadi antara fokus utama berbanding kerajaan negeri Selangor pimpinan pembangkang yang tidak mempedulikan mereka.
"Apakah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak menganggap Orang Asli sebagai sebahagian daripada rakyat Selangor? Itu menimbulkan kehairanan semua pihak," katanya pada lawatan mesra dan penerangan isu-isu semasa kepada masyarakat berkenaan di Kampung Bukit Kala, dekat sini hari ini.
Majlis berkenaan dimulakan dengan aktiviti melawat rumah di perkampungan tersebut dan diakhiri dengan pemberian bantuan berupa barangan keperluan asas kepada keluarga miskin serta ibu tunggal.
Dalam masa sama, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut meminta masyarakat Orang Asli menyuarakan segala keluh-kesah dan cadangan kepada kerajaan supaya mereka tidak terus dibelenggu masalah berhubung penempatan.
"Tanah ini di bawah kuasa kerajaan negeri, saya difahamkan pihak Orang Asli memanjangkan permohonan tersebut kepada Menteri Besar dan Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali tetapi masih belum selesai.
"Semoga kerajaan negeri BN akan datang dapat menyelesaikan masalah tanah ini. Kita lihat orang kampung di sini hidup dalam keadaan berhimpit-himpit dan tidak selesa, mereka memerlukan ruang, jadi BN akan berusaha merealisasikannya," katanya.

No comments:

Post a Comment