Wednesday, November 21, 2012

Doa kehancuran: Pas hilang pertimbangan


KUALA LUMPUR 18 Nov. - Pas sudah hilang pertimbangan apabila sanggup mendoakan kehancuran UMNO yang dianggotai saudara seagama hanya kerana terlalu taksub dengan kuasa.

Walaupun kesal dan sedih dengan sikap Pas itu, para pemimpin UMNO ketika memberi reaksi terhadap perkara itu tetap menghormati mereka sebagai saudara seagama dan memohon kepada Allah supaya ahli-ahli parti itu diberi petunjuk dan hidayah.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Noh Omar berkata, tindakan Pas mendoakan kehancuran UMNO dan Barisan Nasional (BN) memberi gambaran seolah-olah parti itu mahu menghancurkan serta memporak-perandakan hubungan sesama umat Islam.
Katanya, Pas sebenarnya semakin keliru dengan perjuangan mereka apabila tidak bersetuju agama Islam dihina di negara lain, tetapi mendoakan kehancuran sesama Islam di negara sendiri.
"Ahli-ahli UMNO yang terdiri daripada orang Melayu beragama Islam merupakan saudara sebangsa serta seagama Pas dan tidak wajar bagi parti itu mendoakan kehancuran mereka. Ketika kita menolak keganasan terhadap umat Islam di luar negara, tiba-tiba kita mendoakan kehancuran umat Islam di negara sendiri,'' kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu selepas merasmikan penubuhan Pertubuhan Permuafakatan Malaysia Selangor (Permas) di sini hari ini.
Bagi Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan pula, Pas semakin terdesak sehingga sanggup memperalatkan agama dan mengamalkan politik yang kurang beretika.
Katanya, hajat Pas agar UMNO dan BN hancur bermakna parti tersebut ingin menghancurkan semua kebaikan selama 55 tahun yang dikecapi negara.
"UMNO dan BN tidak pernah berdoa atau bersolat hajat untuk kehancuran parti atau pemimpin lawannya. Hajat kami adalah untuk kemenangan majoriti dua pertiga oleh BN agar dapat menjadi kerajaan yang kuat bagi manfaat rakyat. Hajat kami adalah untuk umat Islam bersatu supaya berjaya dan disegani," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin pula berkata, doa Pas agar Allah menjahanamkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) seperti Dia memusnahkan Firaun, Qarun, Namrud serta Abu Lahab jelas membuktikan parti tersebut telah terpesong daripada ajaran Islam dan tidak layak menggelar diri mereka sebagai sebuah parti Islam.
Sambil melahirkan rasa kesal dan sedih dengan sikap Pas itu, beliau berkata, Pas perlu bertaubat kerana mendoakan sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan oleh orang Islam.
"Tak pernah saya dengar orang Islam mendoakan kehancuran sesama Islam. Jelas sudah terpesong daripada ajaran agama dan Pas tidak layak lagi menggelarkan diri sebagai parti Islam. Orang seperti ini yang busuk hati tidak layak dijadikan pemimpin," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, kemarahan Pas terhadap UMNO dan BN sehingga membawa kepada doa seperti itu juga boleh mendatangkan kezaliman sekiranya Pas dan sekutu pembangkangnya memerintah negara.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee dalam blognya pula berkata, Pas terbukti telah 'menjual agama' kerana tergamak mendoakan kehancuran UMNO iaitu sebuah parti yang berjaya meningkatkan syiar Islam di negara ini.
Keadaan itu jelasnya, menggambarkan Pas bukannya sebuah parti bertunjangkan perjuangan Islam sebaliknya penganjur kepada perpecahan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.
"Ketika Israel mengganas di Gaza, Pas pula menggalakkan ahlinya berdoa hancurkan umat Islam di negara ini. Mereka minta doa supaya hancurkan UMNO kerana kepentingan politik, ini perbuatan keji kerana cuba menghancurkan perpaduan sesama umat Islam," katanya.

No comments:

Post a Comment