Monday, November 5, 2012

IDJ dapat RM150 juta naik taraf jalan


PONTIAN 4 Nov. - Infra Desa Johor (IDJ) diberi peruntukan sebanyak RM150 juta bagi melaksanakan kerja-kerja menaik taraf serta memperbaiki jalan luar bandar bagi tempoh tiga tahun mulai tahun ini.

Pengurus Kawasan Selatannya, Zukifli Abdul Rahman berkata, daripada jumlah tersebut, daerah Pontian yang melibatkan dua kawasan Parlimen masing-masing telah menerima sebanyak RM5 juta.
Beliau berkata, peruntukan tersebut merupakan yang tertinggi setakat ini berbanding empat daerah lain yang di bawah seliaan pihaknya iaitu, Mersing, Johor Bahru, Kota Tinggi dan Kulaijaya.
"Hingga kini sebanyak 40 kawasan jalan kampung di daerah Pontian telah menerima kemudahan tersebut, manakala 32 lagi permohonan sedang dalam penelitian pihak IDJ.
"Kerja-kerja membaiki dan menaik taraf hanya melibatkan jalan-jalan kampung sedia ada seperti menampal lubang dan meluaskan bahu jalan bertujuan memberikan keselesaan kepada pengguna," katanya pada majlis perasmian Jalan Parit Betak Darat, Benut dekat sini semalam.
Jalan berkenaan dirasmikan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Yang turut hadir, Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon.
Jalan sepanjang 5.5 kilometer itu dibina pada 1996 dan diturap semula dengan kos sebanyak RM532,000.
Sementara itu, Ketua Kampung Kawasan (2) Mukim Benut, Fadil Mustan, 60, berkata, jalan itu menghubungkan tujuh buah kampung iaitu Kampung Permatang Sepam, Permatang Palas, Parit Ariff, Lubok Sipat, Parit Yusof, Parit Husin dan Parit Abdul Rahman serta menjadi laluan ke Simpang Renggam.
"Kami mempunyai kira-kira 1,000 penduduk yang merupakan antara kawasan yang pesat membangun di bahagian utara Pontian serta berhampiran dengan sempadan daerah Batu Pahat.
"Jalan ini memberikan keselesaan kepada penduduk yang berulang-alik untuk menjalankan urusan harian termasuk menghantar anak-anak ke sekolah," katanya.

No comments:

Post a Comment