Thursday, November 29, 2012

Pemimpin Kelab UMNO pejuang siber parti



KUALA LUMPUR 28 Nov. - Para pemimpin Kelab UMNO Luar Negara diminta memainkan peranan sebagai penggempur siber bagi menghadapi perang siber oleh pihak pembangkang.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, sebagai pemimpin muda yang tinggal dan belajar di luar negara, mereka mempunyai banyak kelebihan bagi mengimbangi serangan pihak pembangkang di alam maya.
"Oleh sebab itu hari ini saya nak umumkan bahawa anda semua dilantik sebagai para pejuang siber bagi UMNO," katanya pada pertemuan dengan wakil-wakil Kelab UMNO Luar Negara, di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
Seramai 72 wakil kelab itu dari 16 buah negara di seluruh dunia berada di tanah air bagi menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di sini.
Sementara itu, Ahmad yang juga Pengerusi Alumni Kelab-kelab UMNO Luar Negara (AKULN) menggesa ahli-ahli Kelab UMNO agar menyertai pertubuhan itu selepas mereka menamatkan pengajian dan pulang ke tanah air.
Katanya, ini membolehkan ahli-ahli berkenaan meneruskan kesinambungan perjuangan mereka sebelum mereka menyertai mana-mana cawangan dan bahagian UMNO. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment