Sunday, November 25, 2012

Perlembagaan UMNO secara khusus pertahankan Islam


KUALA LUMPUR 23 Nov. - Dakwaan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kononnya UMNO sebagai parti yang murtad adalah tidak berasas kerana perlembagaan parti itu secara khusus meletakkan pendirian menegak, mempertahan dan mengembangkan agama Islam.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, kenyataan tersebut adalah fitnah melampau kerana UMNO selama ini berjuang untuk memartabatkan lagi kedudukan agama Islam.
"Kita berdoa supaya Pas diberi petunjuk dan hidayah. UMNO telah membangunkan Malaysia sehingga menjadi negara Islam contoh, malah kita mempunyai pelan jangka pendek dan panjang untuk umat Islam tanpa mengabaikan bangsa-bangsa lain," katanya selepas mengadakan pertemuan bersama Kumpulan Ilmuan dan Profesional UMNO di sini hari ini.
Yang turut hadir mewakili kumpulan ilmuan itu ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Hamid Zainal Abidin; Pengerusi TV AlHijrah, Tan Sri Mohd. Yusof Noor serta Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya.
Ahmad mengulas tentang kenyataan Nik Abdul Aziz baru-baru ini yang memberikan gambaran bahawa UMNO merupakan sebuah parti yang murtad kerana menolak dan memperlekehkan Islam dalam dasar parti itu.
Ketika ditanya tentang hasrat Nik Abdul Aziz menyaman Utusan Malaysia kerana mendakwa berlakunya pembohongan dalam kenyataan itu, Ahmad berkata, kenyataan itu tidak boleh dinafikan kerana adanya rakaman yang memperincikan lagi perkataan demi perkataan.
Sementara itu, mengulas pertemuan yang diadakan hari ini, Ahmad berkata, golongan ilmuan UMNO akan menjalankan peranannya dalam memberikan penerangan kepada masyarakat tentang UMNO dan Islam menerusi pelbagai platform termasuk secara bersemuka, media cetak, media elektronik dan digital.
Sementara itu, menurut Mohd. Yusof, beliau hairan bagaimana sebuah parti boleh dianggap sebagai murtad sedangkan kesalahan itu hanya boleh berlaku kepada individu yang keluar daripada agama Islam.
"UMNO bukannya insan yang menganut agama. Ini sebuah pertubuhan. Saya berpendapat sasarannya salah dan datang pula daripada orang yang berfikiran secara salah," katanya.
Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata, tindakan Pas mendoakan kehancuran UMNO pula bercanggah dengan ajaran Islam kerana doa sepatutnya digunakan untuk meminta kebaikan dan petunjuk.
"Harus diingat doa sebagai ibadah itu ada peraturan, adab sopan dan tertib. Apabila kita berdoa dengan niat tidak baik untuk menjahanamkan dan meminta dicelakakan, itu bukan dituntut agama Islam," katanya.

No comments:

Post a Comment