Sunday, November 25, 2012

Tonik’ terbaik untuk menang PRU Ke-13


SEBAGAI Ketua Penerangan UMNO, DATUK AHMAD MASLAN yakin ketiga-tiga sayap UMNO nanti akan banyak menyentuh berkenaan isu Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 dalam perhimpunan agung kali ini dan seterusnya berusaha mencari ‘tonik’ terbaik bagi memastikan UMNO dan BN kembali memperoleh kemenangan besar pada PRU nanti.
Beliau juga meletakkan empat syarat yang perlu diberi perhatian khusus oleh perwakilan dan ahli-ahli UMNO iaitu semangat sepasukan, kesetiaan, perjuangan dan kesiapsiagaan supaya apa juga rintangan serta cabaran yang dihadapi parti akan dapat diharungi bersama.
Dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia TERMIZI CHE ANUAR baru-baru ini, beliau mengharapkan agar kesatuan dan perpaduan sesama orang Melayu di negara ini diperkukuhkan khususnya melalui UMNO. Bak kata pepatah, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
Tegas beliau, tidak ada satu bangsa pun di dunia ini yang berjaya datangnya daripada bangsa yang berpecah belah.

UTUSAN: Apakah signifikan Perhimpunan Agung UMNO kali ini lebih-lebih lagi sebelum menghadapi PRU Ke-13?
AHMAD: Pada perhimpunan tahun lalu mungkin ramai fikir perhimpunan itu adalah kali yang terakhir sebelum PRU, jadi kita telah berikrar dan sebagainya.
Jadi, saya kira kalau ikrar itu diperbaharui ada baiknya kerana mungkin setahun selepas berikrar ada sebahagian perwakilan serta ahli UMNO yang terlupa dan sebaiknya semua yang hadir nanti berikrar sekali lagi.
Saya meletakkan kepercayaan bahawa perhimpunan kali ini akan menjadi medan kepada semua peringkat ahli UMNO bagi mengembalikan perjuangan asal parti dan pada masa sama mengekalkan ‘ukhuwah’ dan persahabatan bagi menghadapi PRU akan datang.
Maka, semua ahli UMNO perlu kembali sedar bahawa perjuangan UMNO dari dahulu hingga sekarang tetap sama mempertahankan alif, ba dan ta iaitu agama, bangsa dan tanah air.
Tidak ada siapa lagi yang boleh diharapkan untuk menjaga ketiga-tiga perkara utama kepada orang Melayu itu melainkan UMNO. Kita tiada pilihan lain, perhimpunan kali ini mesti menjadi ‘tonik’ kepada perwakilan dan juga ahli UMNO untuk bekerja lebih keras dalam menghadapi PRU nanti.
Adakah isu untuk menghadapi PRU akan menjadi topik utama dalam perbahasandan mungkin ada cadangan daripada Datuk sebagai Ketua Penerangan UMNO.

Saya secara peribadi menetapkan tiga objektif dalam menghadapi PRU akan datang. Pertama, UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu menang dua per tiga dalam PRU akan datang, yang kedua ialah menawan kembali negeri-negeri yang kalah dan terakhir, untuk menambah undi popular berbanding PRU-12 lalu. Sehubungan itu, saya berharap perkara-perkara itu perlu menjadi fokus dalam ucapan-ucapan termasuk ucapan tiga sayap UMNO.
Seperti yang saya sebut sebelum ini, kita bakal melalui PRU-13 pada bila-bila masa sahaja. Sudah tentu persediaan kita untuk menempuh ujian itu merupakan isu terpenting yang perlu dibawa.
Jadi, saya juga meletakkan empat perkara utama yang juga harus menjadi intipati perbahasan iaitu menanam semangat sepasukan, kesetiaan, perjuangan dan kesiapsiagaan. Ini penting untuk dikekalkan sehingga sekurang-kurang tamat tempoh mengundi. Soal lain juga penting, tetapi biarlah kita kukuhkan perpaduan dan kesetiaan kepada parti kerana pilihan raya semakin hampir. Biar tiada lagi budaya ‘cah keting’ dan sabotaj berlaku dalam parti agar UMNO serta BN kembali mendapat tempat di hati rakyat.
Sekarang, kita perlu pastikan UMNO dan BN kembali memperolehi majoriti dua per tiga di Dewan Rakyat dan merampas kembali negeri-negeri yang kini ditadbir oleh pembangkang.
Selain soal PRU, kita lihat orang Melayu kini berpecah sehinggakan hak keistimewaan, kuasa Raja-raja dipertikai, bahkan agama Islam sendiri menjadi mainan politik. Bagaimana perwakilan perlu menggunakan perhimpunan kali ini bagi membincangkan isu tersebut?
Saya berharap pada perhimpunan kali ini, perwakilan akan berusaha membangkitkan semangat ahli untuk mempertahankan hak-hak orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Semua ahli parti perlu sedar, hanya UMNO yang memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air.
Sebab itu, semua ahli parti dan perwakilan perlu meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi.
Orang Melayu yang bukan ahli UMNO juga perlu sedar perjuangan ini bukan perjuangan parti semata-mata tetapi ia perlu melibatkan seluruh orang Melayu.
Tidak ada gunanya kita sibuk berpolitik jika kuasa yang ada pada orang Melayu tidak dapat dikekalkan. Kalau UMNO lemah, siapa lagi yang akan mempertahankan hak-hak orang Melayu. Adakah DAP, Pas atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menjaga hak orang Melayu.
Bagaimana perhimpunan agung kali ini akan dapat menguatkan penyatuan antara ahli?
Cogankata UMNO, Bersatu, Bersedia dan Berkhidmat sendiri merupakan keseluruhan intipati perjuangan parti yang menjadi perjuangan ahli parti selama ini. Walau bagaimanapun, mungkin ada segelintir ahli yang terlupa tentang perjuangan parti selama ini. Namun, saya percaya perhimpunan kali ini akan mampu menguatkan penyatuan dan persaudaraan sesama ahli khususnya bagi menghadapi PRU nanti.
Perhimpunan kali ini juga perlu menjadi medan untuk menanamkan semangat sayang dan taat kepada kepimpinan parti. Biarlah hujah-hujah nanti dibuat bagi tujuan itu.
Paling penting, selepas tamat perhimpunan nanti semua perwakilan dan ahli perlu dapat menterjemahkan apa juga nasihat dan kehendak kepimpinan parti. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Jika semua ahli UMNO sentiasa berpegang teguh kepada prinsip itu, insya-Allah semua yang dilaksanakan akan berjaya.
Apakah mesej ringkas yang ingin Datuk sampaikan kepada perwakilan atau kepada ahli di peringkat akar umbi?
Perjuangan UMNO kini terletak di tangan kita sebagai ahli dan perwakilan. Sekarang kita perlu pertahankan semua yang telah diwarisi daripada kepimpinan UMNO terdahulu sehingga kita berada ditahap ini.
Ada sesetengah ahli yang hanya pentingkan ganjaran dan saya ingin tegaskan bahawa UMNO bukan parti kebendaan tetapi ia adalah sebuah parti perjuangan.
Jangan terlalu mengharapkan balasan kerana setiap yang diusahakan sudah pasti ada ganjarannya.
Ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi juga dijemput hadir untuk bersama-sama pada perhimpunan kali ini. Saya harap biar Perhimpunan Agung UMNO kali ini mencipta sejarah sebagai sebuah perhimpunan terbesar yang pernah diadakan sebelum menghadapi PRU nanti.

No comments:

Post a Comment