Thursday, November 29, 2012

Ucapan perwakilan perlu berlandaskan fakta



PONTIAN 25 Nov. - Perwakilan yang bakal menyampaikan ucapan dalam Perhimpunan Agung UMNO minggu depan perlu berlandaskan fakta yang betul dan tidak mengikut rentak pembangkang yang banyak menabur tohmahan serta fitnah.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, mana-mana perwakilan yang mahu 'menyerang' Pas, DAP atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu mempunyai hujah dan maklumat yang tepat selain tidak bersandarkan kepada andaian semata-mata.
Katanya, jika bercakap soal Nurul Izzah Anwar (Naib Presiden PKR), doa memusnahkan UMNO (dalam muktamar Pas di Kota Bharu, Kelantan minggu lalu), menggambarkan UMNO murtad (kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat), soal pluralisme Anwar Ibrahim, semuanya mestilah bukan berdasarkan tohmahan, sebaliknya bukti yang ada.
"Di sini beza pemimpin UMNO dan BN berbanding pemimpin pembangkang yang selalu memutarbelitkan kenyataan dan menyalahkan pihak lain apabila kenyataan tersebut memakan diri mereka sendiri," katanya selepas perasmian jalan baru Kampung Parit Jawa ke Jalan Kayu Ara Pasong bernilai RM350,000 di sini hari ini.
Beliau mengulas sama ada perwakilan UMNO perlu membincangkan atau menyerang balas isu-isu yang dimainkan pembangkang baru-baru ini.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, pendedahan mengenai pembangkang tidak akan dapat dinafikan kerana UMNO mempunyai bukti dan hujah yang tidak boleh dipertikaikan.
"Walaupun selepas ini UMNO mungkin akan disaman, tetapi kita tidak takut dan gentar kerana semua yang diperkatakan mempunyai bukti dan salinan sama ada dalam bentuk dokumen, gambar, rakaman dan sebagainya.
"Saya yakin perwakilan di peringkat sayap Wanita, Pemuda dan Puteri serta badan perhubungan UMNO negeri telah bersedia dengan segala hujah yang akan dibangkitkan nanti. Kita juga tidak akan berdoa supaya Pas hancur walaupun Pas menggunakan solat hajat dan mendoakan kemusnahan UMNO," katanya.
Tambahnya, kesemua 1.3 juta ahli UMNO perlu memberi sokongan padu dan perhatian dengan penuh teliti kepada setiap perkara yang dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung UMNO itu nanti sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Ahmad turut menganggarkan jumlah kehadiran persidangan yang berlipat kali ganda, sekali gus bakal menjadi bukti bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah kuat dan kukuh serta diterima oleh rakyat secara keseluruhannya.

No comments:

Post a Comment