Sunday, December 16, 2012

Bukti PKR tidak bertindak adil


SHAH ALAM 15 Dis. - Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor disifatkan sebagai sebuah kerajaan yang tidak berlaku adil kepada rakyatnya apabila meminta golongan ibu tunggal di negeri ini membuktikan mereka mengundi pakatan pembangkang dalam pilihan raya umum lalu sebagai syarat mendapatkan bantuan elaun yang dijanjikan sebanyak RM100.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, tindakan kerajaan negeri itu jelas menunjukkan sikap sebenar pakatan pembangkang yang tidak bertanggungjawab, selain menafikan hak rakyat Selangor untuk mendapatkan bantuan elaun tersebut yang sebelum ini dijanjikan kepada mereka pada pilihan raya umum lalu.
"Sebagai pentadbir negeri, PKR, DAP dan DAP tidak sewajarnya membeza-bezakan rakyat dari segi latar belakang mahupun ideologi politik mereka. Begitu juga dengan isu tunggal, mereka adalah rakyat Selangor sendiri.
"Maka, sewajarnya kerajaan negeri memberikan bantuan elaun itu kerana telah pun dijanjikan pakatan pembangkang sebelum ini. Namun, melihat daripada tindakan kerajaan negeri dalam soal itu, jelas mereka tidak berlaku adil kepada rakyat Selangor," katanya selepas majlis santai bersama Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Bandaraya Shah Alam di Kompleks PKNS di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam yang meminta isu-isu ibu tunggal yang mengemukakan saman terhadap kerajaan negeri bagi menuntut janji pemberian elaun sebanyak RM100 supaya membuktikan di mahkamah bahawa mereka mengundi calon Pas, DAP dan PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-12.
Dalam pada itu, Ahmad turut menyatakan sikap pakatan pembangkang itu adalah bertentangan corak pentadbiran kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) yang memberikan bantuan kepada rakyat tidak mengira latar belakang mahupun ideologi politik mereka.
"Dalam soal bantuan Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) sebagai contoh, kerajaan pimpinan BN memberikan kepada semua pemandu teksi di negara ini tanpa mengira parti apa yang mereka sokong, begitu juga dengan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mana semua orang berkeluarga dan bujang dapat.
"Dalam soal pemberian subsidi minyak, gula dan sebagainya, kerajaan Pusat di bawah BN kita beri kepada semua rakyat termasuklah 'tauke' DAP sendiri yang mendapat nikmatnya. Kita beri, kita tidak tanya mereka orang Pas atau UMNO, sebaliknya kita beri semua dan adil kepada semua rakyat," tegasnya.
Terdahulu, Ahmad yang merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut menerima 500 borang keahlian UMNO yang terdiri daripada Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Bandaraya Shah Alam, Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Kompleks PKNS Shah Alam dan UMNO Bahagian Shah Alam.

No comments:

Post a Comment