Sunday, December 16, 2012

Dokong harapan Presiden UMNO



Ahmad Maslan melihat makanan yang dipertandingkan sempena program aktiviti Taman Rekreasi Cintai Sungai Kita Sungai Pinggan di Benut, baru-baru ini.

PONTIAN 9 Dis. - Ikrar, doa, sumpah dan tujuh rukun yang disampaikan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini perlu dijadikan azimat kepada ahli yang benar-benar sayangkan parti dalam menghadapi cabaran Pilihan Raya Umum Ke-13.
Ketua Penerangannya, Datuk Ahmad Maslan berkata, lafaz itu juga diharap menjadi motivasi kepada jentera pilihan raya untuk terus bekerja lebih kuat dan melipatgandakan usaha bertemu seramai mungkin bakal pemilih dan memberi penerangan isu-isu terkini.
"Sama ada pemimpin atau ahli UMNO, mereka perlu menghayati serta mendokong harapan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang inginkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya umum kelak seterusnya menyekat cita-cita pembangkang menawan Putrajaya dan merampas negeri yang ditadbir mereka.
"Sebagaimana seorang atlet yang akan menyertai pertandingan, jentera pilihan raya perlu berada dalam keadaan siap sedia, cergas dan pantas untuk digerakkan bila-bila masa yang diperlukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taman Rekreasi Cintai Sungai Kita Sungai Pinggan, di Benut dekat sini, baru-baru ini.
Dalam Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir 1 Disember lalu, Najib menggulung perbahasan dengan ikrar, doa dan sumpah selain peringatan kepada ahli-ahli UMNO bahawa setiap undi kepada pembangkang boleh membawa maksud kerosakan akidah, perpecahan kaum dan penindasan ke atas kaum tertentu.
Muhyiddin pula menggariskan tujuh rukun iaitu patuh kepada pemimpin, mengatur strategi dengan tepat, fahami peranan dan tanggungjawab, mengenali siapa musuh, kejapkan perpaduan, bersiap siaga dan berjuang habis-habisan.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, mencadangkan kesemua perkara yang dinyatakan Najib dan Muhyiddin diabadikan di setiap bilik gerakan pilihan raya supaya sentiasa kekal dalam ingatan ahli-ahli UMNO.
"Semua Biro Penerangan UMNO di setiap Bahagian diminta turut sama membantu menyebar luas harapan serta peringatan yang oleh pucuk pimpinan parti supaya turut dihayati setiap ahli," katanya.

No comments:

Post a Comment