Sunday, December 16, 2012

Kaedah baharu tingkat kecekapan khidmat teksi



KUALA LUMPUR 11 Dis. - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sedang giat memperkenalkan kaedah-kaedah baru bagi mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan teksi di negara ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, antara usaha itu adalah memperkenalkan MyTeksi dan Taxi Monger iaitu aplikasi telefon pintar yang membolehkan pengguna membuat tempahan teksi dengan lebih mudah.
"Aplikasi ini memberi peluang kepada pemandu teksi untuk mendapatkan penumpang dengan lebih cekap dan berkesan kerana ia akan memberikan maklumat seperti jarak penumpang terdekat dan destinasi yang hendak dituju," katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Pau Chiong Ung yang mahu tahu mengenai usaha SPAD memulihkan reputasi pemandu teksi Kuala Lumpur yang didakwa hasil kaji selidik sebuah syarikat teksi London, sebagai pemandu teksi paling teruk di dunia.
Ahmad mengakui tabiat buruk segelintir pemandu teksi di Malaysia memberi kesan kurang baik kepada industri perkhidmatan teksi tempatan.
Katanya, walaupun pelbagai insentif serta kemudahan telah disediakan kerajaan untuk meringankan beban yang ditanggung pemandu teksi, masih terdapat segelintir golongan tersebut bersikap negatif.

No comments:

Post a Comment