Sunday, December 16, 2012

Langkawi lokasi perkhemahan pengakap dunia


LANGKAWI 15 Dis. - Langkawi yang merupakan permata negeri ini mencatatkan sejarah apabila dijadikan sebagai lokasi aktiviti pengakap antarabangsa.

Inisiatif di bawah pelan Blueprint Langkawi itu antaranya menyasarkan 36 juta ahli pengakap di 161 negara untuk memasuki pulau ini untuk menjalankan pelbagai aktiviti kepengakapan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Tan Sri Khalid Ramli, usaha tersebut menampakkan hasil dengan penganjuran Jambori Antarabangsa Pengakap Geopark Maritim di Oriental Village di sini selama seminggu bermula 12 Disember lalu.
"Pengakap pelancongan merupakan produk baharu Malaysia dan penglibatan Langkawi melalui LADA akan memberikan ruang bagi membanyakkan aktiviti berkaitan.
"Impak program adalah memperkenalkan Langkawi, khususnya Malaysia sebagai destinasi aktiviti pengakap dunia," katanya dalam majlis perasmian jambori tersebut di sini semalam.
Perkhemahan yang disertai 2,000 peserta dari dalam dan luar negara itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diwakili Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.
Yang hadir sama Timbalan Yang Dipertua Majlis Pengakap Malaysia, Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd. Tahir mewakili Ketua Pengakap Negara.

No comments:

Post a Comment