Saturday, December 8, 2012

Malaysia sangkal dakwaan London Cabs



KUALA LUMPUR 6 Dis. - Dakwaan London Cabs bahawa perkhidmatan teksi di Malaysia adalah yang terburuk di dunia tidak mencerminkan gambaran menyeluruh industri itu di negara ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan (gambar) berkata, kaji selidik yang dilakukan itu hanya membabitkan perkhidmatan teksi bandar atau bajet, dan meliputi aspek penggunaan meter serta keadaan teksi sahaja.
Menurut beliau, laporan tersebut juga berbentuk bebas tanpa mengetahui kaedah yang digunakan.
"Kajian tersebut dilakukan oleh sebuah syarikat teksi di London dan tidak meliputi aspek secara menyeluruh industri teksi di Malaysia. Tambahan pula banyak syarikat teksi di London tidak membuat apa-apa kajian teksi di negara ini," katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Mohammed Najeeb Abdullah yang meminta penjelasan tentang kesahihan yang menyatakan perkhidmatan teksi di Malaysia terburuk di dunia.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pencapaian syarikat Airport Limo (M) Sdn. Bhd., yang memberi perkhidmatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), telah menerima anugerah empat bintang daripada Skytrax sejak 2003 hingga sekarang.
Katanya, penganugerahan itu meletakkan syarikat teksi Malaysia sebagai antara yang terbaik di dunia kerana tiada syarikat teksi antarabangsa yang menerima lima bintang.
"Ini membuktikan kita mempunyai perkhidmatan teksi yang baik setanding dengan negara-negara maju lain," tambah beliau.
Menjawab soalan tambahan, Ahmad berkata, langkah drastik Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memperkenalkan inisiatif Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) yang bermula suku pertama 2013 bakal mengubah keseluruhan landskap perkhidmatan teksi di negara ini.
Inisiatif tersebut akan menjadikan industri teksi tempatan lebih cekap dan berdaya maju kerana inisiatif itu merangkumi dasar dan polisi, bantuan kepada pemandu, latihan, penggunaan teknologi dan penguatkuasaan, katanya.

No comments:

Post a Comment