Sunday, December 16, 2012

MyTeksi bantu tingkat kecekapan pemandu teksi



KUALA LUMPUR 11 Dis. - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sedang giat memperkenal kaedah baharu bagi membolehkan pemandu teksi negara ini meningkatkan kecekapan mereka, Dewan Negara diberitahu hari ini.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata kaedah berkenaan termasuk memperkenal penggunaan aplikasi MyTeksi dan Taxi Monger.
"Aplikasi MyTeksi dan Taxi Monger merupakan aplikasi telefon pintar yang membolehkan pengguna untuk membuat tempahan teksi dengan lebih mudah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Pau Chiong Ung yang mahu tahu mengenai usaha SPAD memulihkan reputasi pemandu teksi Kuala Lumpur yang didakwa (hasil kaji selidik sebuah syarikat teksi London) sebagai pemandu teksi paling teruk di dunia.
Ahmad berkata dua aplikasi berkenaan juga memberi peluang kepada pemandu teksi untuk mendapatkan penumpang dengan lebih cekap dan berkesan kerana ia akan memberikan maklumat seperti jarak penumpang terdekat dan destinasi yang hendak dituju.
Katanya, SPAD akan turut mempertingkat tindakan penguatkuasaan bagi membanteras amalan-amalan negatif yang dilakukan oleh pemandu teksi dan memastikan mereka menjalankan operasi mengikut peraturan dan syarat ditetapkan.

No comments:

Post a Comment