Tuesday, December 4, 2012

SOALAN NO. 51: PEMBERITAHUAN PERTANYAAN PERTANYAAN LISAN DEWAN NEGARA



PEMBERITAHUAN PERTANYAAN PERTANYAAN LISAN
DEWAN NEGARA


                                                               
PERTANYAAN    :        LISAN
DARIPADA :        YB TUAN CHIEW LIAN KENG
TARIKH              :        3 DISEMBER 2012 - ISNIN

SOALAN

YB Tuan Chiew Lian Keng minta Perdana Menteri menyatakan :-
Keberkesanan perkhidmatan bas daripada segi kekerapan dan integriti pemandu bas di kawasan perumahan terutamanya di kawasan Perumahan Rakyat (PPR), Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia dan kawasan rumah pangsa kos rendah serta kawasan perumahan kos rendah.

 JAWAPAN:         YB DATUK HAJI AHMAD BIN HAJI MASLAN
TIMBALAN MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

Tuan Yang di-Pertua,
SPAD mengambil berat mengenai kepentingan dan keperluan pengangkutan awam oleh orang ramai dan memastikan perkhidmatan yang disediakan adalah berkualiti tinggi.  

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,


SPAD mengenalpasti punca kekurangan kekerapan operasi bas adalah kerana kos operasi yang meningkat dan pengusaha hanya beroperasi pada waktu puncak. Bagaimanapun, SPAD telah menangani isu ini dengan memberi dana bantuan sementara bas henti-henti (ISBSF) bagi memastikan kekerapan perkhidmatan kepada rakyat dan menampung sebarang kerugian oleh pihak pengusaha, serta memberikan pampasan dan latihan yang sewajarnya kepada pemandu-pemandu mereka.

Pada masa yang sama, beberapa laluan baru juga dikenalpasti bagi memastikan perkhidmatan bas henti-henti dapat disediakan untuk kumpulan sasaran. Cadangan untuk keperluan masa hadapan mengutamakan faktor-faktor utama seperti kekerapan, kebolehharapan, masa perjalanan, kebersihan, dan keselamatan  bagi mencapai kualiti yang tinggi dalam perkhidmatan bas. Tumpuan turut diberikan kepada kawasan perumahan-perumahan kos rendah termasuk kawasan Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia bagi mewujudkan perkhidmatan bas yang menyeluruh.


Untuk makluman Dewan yang mulia ini, untuk langkah jangka panjang, Kerajaan sedang menggubal dasar pengangkutan awam darat nasional.  Selain daripada dasar bagi menyatupadukan perancangan gunatanah dan pengangkutan awam di kawasan Perumahan Rakyat, meningkatkan kualiti perkhidmatan bas adalah salah satu langkah yang dititikberatkan.


Bagi meningkatkan integriti pemandu, perkhidmatan bas, SPAD akan mewujudkan Akademi Pemandu yang akan menyediakan latihan yang komprehensif kepada mereka Antara modul yang akan di perkenalkan ialah yang berkaitan dengan peraturan dan disiplin di jalanraya, layanan kepada penumpang dan kemahiran memandu agar semua pemandu dapat memberikan perkhidmatan yang baik semasa menjalankan tugas.

Sekian,  terima kasih.



No comments:

Post a Comment