Tuesday, December 4, 2012

SOALAN NO.5: PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT




PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT

                                                               
PERTANYAAN    :        LISAN
DARIPADA          :        DATO’ SERI ONG KA CHUAN
[ TANJONG MALIM ]
TARIKH              :        26 NOVEMBER 2012 - ISNIN
SOALAN
DATO’ SERI ONG KA CHUAN [ TANJONG MALIM ] minta PERDANA MENTERI menyatakan perancangan yang akan diadakan oleh Kerajaan untuk membantu pengusaha-pengusaha perkhidmatan pengangkutan awam seperti pengusaha bas sekolah dan pengusaha bas awam,  terutamanya di kawasan bandar-bandar kecil dan luar bandar, yang menghadapi masalah seperti tidak mampu mengantikan kenderaan mereka yang telah berusia lama dan mengalami kerugian akibat daripada kos operasi yang tinggi. Sedangkan perkhidmatan berkenaan sangat penting di kawasan luar Bandar di mana ramai penduduk  masih tidak memiliki pengangkutan sendiri.

JAWAPAN:         YB DATUK HAJI AHMAD BIN HAJI MASLAN
TIMBALAN MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

Tan Sri Yang di-Pertua,
SPAD mengambil berat mengenai kepentingan dan keperluan pengangkutan awam dan memastikan perkhidmatan yang disediakan adalah berkualiti. 

SPAD sedang menangani isu pengangkutan awam dengan memberi dana bantuan sementara bas henti-henti (Interim Stage Bus Support Fund (ISBSF)) bagi memastikan kekerapan perkhidmatan kepada rakyat dan menampung sebarang kerugian oleh pihak pengusaha. Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM400 juta pada Disember 2011 bagi membantu pengusaha-pengusaha bas henti-henti yang mengalami masalah kewangan untuk menjalankan operasi terutamanya di kawasan bandar dan juga luar bandar. Setakat ini, sebanyak 98 pengusaha bas henti-henti di seluruh Negara telah memohon dan menerima bantuan dana ini. Sejumlah RM49.7 juta telah disalurkan dan permohonan dilanjutkan setahun lagi sehingga 2013.

Kerajaan juga telah menyediakan peruntukan tambahan sejumlah RM150 juta yang disalurkan melalui SME Bank melalui Tabung Pembangunan Pengangkutan Awam (TPPA) dengan pinjaman kadar rendah 4% bagi membantu pengusaha bas sekolah, bas mini dan bas henti-henti. Bantuan ini adalah untuk membantu pengusaha –pengusaha menggantikan kenderaan atau membaikpulih kenderaan sekaligus dapat menampung kerugian akibat daripada kos operasi yang tinggi. Kerajaan juga memberi bantuan subsidi diesel sebanyak RM1.48 seliter kepada bas sekolah, bas henti-henti, bas ekspres dan bas pengantara.

Di dalam Bajet 2013, kerajaan telah mengumumkan bantuan rebat tunai 10 ribu ringgit dan subsidi kadar faedah 2 peratus ke atas pinjaman penuh untuk menggantikan bas sekolah lama berusia melebihi 25 tahun kepada bas baru yang berkapasiti 12 hingga 18 tempat duduk. Skim ini diuruskan oleh BSN untuk tempoh permohonan 2 tahun bermula 1 Januari 2013. 

Pada masa yang sama, SPAD sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengenalpasti isu-isu utama dan cadangan penambahbaikkan pengangkutan awam melalui Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Negeri yang dipengerusikan oleh UPEN.  Ini bagi memastikan perkhidmatan bas henti-henti dapat disediakan yang mana tumpuan turut diberikan kepada kawasan luar bandar bagi menyediakan perkhidmatan yang menyeluruh.

SPAD sedang menyediakan Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat Negara. Adalah dijangka Rancangan Induk ini akan dibentangkan untuk pertimbangan Jemaah Menteri sebelum akhir tahun ini.

Sekian,  terima kasih.

No comments:

Post a Comment