Sunday, December 16, 2012

Sultan Pahang lancar biografi Rosmah Mansor


KUALA LUMPUR 10 Dis. - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah hari ini berkenan menyempurnakan majlis memperkenal dan melancarkan buku biografi Datin Seri Rosmah Mansor di sini.

Biografi berjudul Rosmah Mansor setebal 164 muka surat itu diterbitkan Yayasan Amanah Perdana Malaysia (YAPM) dan memaparkan pengalaman serta liku-liku kehidupan isteri Perdana Menteri sejak zaman kanak-kanak beliau sehingga sekarang.
Pengerusi YAPM, Shamsulbahrin Ludin berkata, biografi itu boleh dianggap sebagai sebahagian daripada sejarah negara malah sebahagian fakta yang terkandung di dalamnya tidak pernah diceritakan sebelum ini.
"Tentu banyak pihak yang ingin mengetahui tentang kehidupan Rosmah ketika kecil, di zaman sekolah rendah seterusnya di alam sekolah menengah.
"Kisah beliau ketika belajar di Kolej Tunku Kurshiah (TKC), Seremban, Negeri Sembilan dan di menara gading serta alam pekerjaan merupakan antara pengalaman yang bakal menarik perhatian para pembaca," katanya ketika berucap dalam majlis berkenaan.
Berangkat sama ke majlis tersebut, Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom.
Yang turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Rosmah dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.
Dalam majlis sama, Sultan Ahmad Shah turut berkenan memotong pulut kuning sambil diiringi Sultanah Kalsom bagi meraikan ulang tahun kelahiran Rosmah yang disambut pada 10 Disember setiap tahun.
Acara-acara lain dalam majlis itu adalah pengisahan tentang perjalanan hidup Rosmah yang dibacakan penulis, Khadijah Hashim serta persembahan istimewa penyanyi, Misha Omar yang mendendangkan buat kali pertama sebuah lagu yang dicipta khas untuk Rosmah bertajuk Wanita Perdana.
Lagu itu hasil gubahan Datuk Suhaimi Mohd. Zain manakala liriknya ditulis pengarah filem, Rosminah Tahir.
Shamsulbahrin menambah, kandungan utama dalam biografi susunan Siti Rohayah Attan dan Ketua Biro Utusan Malaysia Putrajaya, Noraini Abdul Razak itu adalah kisah perkahwinan Rosmah dan Najib dan cabaran sebagai isteri seorang Menteri Kabinet, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri.
Jelas beliau, biografi yang ditulis secara santai dan sesuai untuk semua peringkat umur itu turut menampilkan temu bual dengan individu-individu yang rapat dengan Rosmah semasa di sekolah rendah, TKC, universiti dan rakan-rakannya sekarang.
"Terdapat juga topik tentang penglibatan beliau dalam aktiviti kemasyarakatan khususnya usaha gigih beliau membangunkan program Permata Negara, penyertaan secara aktif dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan program-program di peringkat antarabangsa," ujarnya.
Kata Shamsulbahrin, penerbitan buku biografi itu juga diharap dapat memberi gambaran sebenar tentang Rosmah dan menjawab pelbagai tohmahan yang dilemparkan terhadap beliau.

No comments:

Post a Comment