Monday, January 28, 2013

Bersama Lawatan kerja TPM di Sarawak




Menyambut kepulangan YAB PM dari GAZA dan DAVOS..






Himpunan Rakyat 1Malaysia Negeri Melaka




Himpunan Barisan 1Malaysia peringkat Negeri Sembilan




Muhyiddin mulakan lawat tiga hari ke Sarawak



Muhyiddin Yasin mempengerusikan taklimat Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Sarawak di ibu pejabat PBB di Jalan Bako, Petra Jaya Kuching, Sarawak, malam tadi. Turut hadir Abdul Taib Mahmud (kanan). 

KUCHING 27 Jan. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memulakan lawatan kerja selama tiga hari ke negeri ini dengan menghadiri Taklimat Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Sarawak di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) negeri di Jalan Bako di sini malam ini.
Taklimat tertutup yang bermula pukul 8.30 malam itu dihadiri Pengerusi BN Sarawak merangkap Presiden PBB, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Timbalan Presiden PBB, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.
Yang hadir sama Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Peter Chin Fah Kui; Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Tan Sri William Mawan; Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr. James Jemut Masing dan pemimpin-pemimpin BN negeri.
Pada majlis itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN dimaklumkan tentang persiapan BN negeri dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 dan isu-isu berbangkit.
Terdahulu, Muhyiddin tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini pada pukul 6 petang.
Ketibaan beliau disambut Abdul Taib dan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta pemimpin-pemimpin negeri.
Sementara itu, jadual padat Timbalan Perdana Menteri esok akan dimulakan dengan melawat balu mendiang Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau, Datin Brawang Chunggot di Kampung Sungai Apong, seterusnya beramah mesra dengan penduduk kampung tersebut.
Selepas itu, beliau akan merasmikan Medan Niaga Satok di Parlimen Petrajaya dan dijangka menyampaikan ucapan kepada penjawat-penjawat awam di Hotel Pullman.
Pada sebelah petang, Muhyiddin akan bersantai bersama para belia di Pusat Rekreasi Bersepadu Kuching (KIRC) di Jalan Budaya, seterusnya menghadiri majlis makan malam bersama ribuan rakyat dalam Majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia di Siniawan Old Bazar, Bau.

Lebih 10,000 orang sambut kepulangan Najib


SEPANG 27 Jan. - Lebih 10,000 rakyat berbilang kaum termasuk menteri Kabinet dan orang kenamaan hari ini membanjiri Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini bagi menyambut kepulangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kehadiran mereka bagi menunjukkan sokongan kepada Perdana Menteri yang mengadakan lawatan ke Semenanjung Gaza Selasa lalu sebelum menghadiri mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2013 di Davos, Switzerland.
Ketibaan Najib yang diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor pada kira-kira 11.05 pagi, disambut Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Seri M. Kayveas.
Kenamaan lain termasuk Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D"Cruz, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Orang ramai yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur turut membawa sepanduk dan kain rentang, antaranya bertulis “Selamat Pulang Pejuang Umat",
“PM Wira Negara", “We Are Proud To Have A Brave PM" dan “We Love PM". - BERNAMA

Nelayan bertuah terima elaun sara hidup



Ahmad Maslan (dua dari kanan) menyampaikan bantuan elaun sara hidup kepada ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pontian di Pontian, kelmarin.

PONTIAN 25 Jan. - Golongan nelayan di negara ini lebih bertuah berbanding petani atau penternak yang tidak menerima bantuan elaun sara hidup seperti mereka.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, selain elaun sara hidup, mereka juga dilindungi insurans yang membolehkan waris menerima bayaran sekiranya berlaku kejadian tidak diingini terhadap mereka sama ada semasa di laut mahupun di darat.
Justeru, beliau berharap 'keistimewaan' itu dapat digunakan sebaiknya untuk menambah pendapatan dan pengeluaran dengan mendapatkan lebih banyak hasil tangkapan di laut.
"Bukan itu sahaja, mereka hendaklah memasarkannya di dalam negeri dan tidak sesekali menjualnya di luar kerana Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) juga memberikan insentif kepada mereka," katanya pada majlis penyampaian bayaran tunai elaun sara hidup untuk 573 ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pontian di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini semalam.
Turut hadir Pengarah LKIM Daerah Pontian, Ismail Abdullah; Pengurus Besar PNK Pontian, Alias Salam dan Pengerusi PNK Pontian, Pungot@Abd.Rahman Selamat.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut meminta golongan nelayan bersyukur dan berterima kasih kepada agensi berkaitan seperti LKIM dan Jabatan Perikanan yang sentiasa berusaha membantu meningkatkan taraf hidup mereka dari semasa ke semasa.
"Peluang melakukan aktiviti hiliran seperti memproses makanan berasaskan hasil laut perlu direbut khususnya dalam kalangan wanita bagi membantu menambahkan pendapatan keluarga masing-masing," katanya.
Bagi yang berkebolehan dalam bidang masakan, mereka boleh membuka restoran menjual makanan laut yang tentunya berupaya memberikan pulangan lumayan, katanya.

Tutup bilik gerakan UMNO di Johor kes terpencil - Ahmad Maslan



AHMAD Maslan menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian persefahaman antara Pengerusi Permodalan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Sdn. Bhd., Datuk Zainal Abidin Sakom (kiri) dan Pengerusi Paragon Matrix Sdn Bhd, Micheal Tan Yeow Khoon bagi kerjasama membangunkan tanah di Serendah, Selangor dalam majlis berlangsung di Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/MOHD NAIM AZIZ

KUALA LUMPUR 24 Jan. - Penutupan beberapa bilik gerakan UMNO di Johor hanya kes terpencil, kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.
Sambil menyifatkan kes itu tidak serius dan hanya melibatkan masalah di kalangan segelintir individu tertentu, Ahmad tidak menolak kemungkinan kejadian itu berunsur cubaan memboikot dan sabotaj parti atau calon menjelang pilihan raya umum ke-13 nanti.
"Memang ada bilik gerakan yang masih lagi ditutup sebab kita belum berkempen lagi. Kalau ada yang tutup, kita boleh buka di tempat lain dan kita ada banyak masa untuk buat perubahan.
"Tidak menjadi masalah kalau ada cubaan memboikot. Kita ada 35 hingga 40 bilik mengundi (di satu kawasan)," katanya ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar mengenai penutupan bilik gerakan UMNO di Johor yang kononnya memboikot kempen pilihan raya umum kerana kecewa dengan kerajaan negeri.
Beliau menegaskan, tindakan tata tertib dan disiplin akan diambil jika didapati ada anggota Umno menjadi dalang sabotaj dan pemboikot kempen.
"Mereka boleh cari badan bukan kerajaan (NGO) lain. Kami serius dalam parti. Kami tiada masa melayan kerenah segelintir individu yang tidak baik dan sakit ini. Kami masih ada ramai lagi ahli yang setia pada parti," katanya.
Ahmad yang juga Ketua Biro Publisiti dan Penerangan Barisan Nasional (BN) berkata, Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN di seluruh negara mesti dibuka selewat-lewatnya 1 Feb.
Terdahulu Ahmad yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyaksikan majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Usahasama antara Permodalan YBK Sdn Bhd dan Paragon Matrix Sdn Bhd di sini hari ini. - BERNAMA.

Pendidikan percuma retorik pembangkang - Ahmad Maslan



AHMAD Maslan (tengah) menyampaikan replika cek RM1.7 juta kepada Msduki Shahri (kanan) di Pontian, Johor, baru-baru ini.

PONTIAN 23 Jan. - Laungan pendidikan percuma yang dicanang pembangkang adalah retorik demi meraih sokongan rakyat semata- mata kerana Barisan Nasional (BN) telah melaksanakan perkara tersebut sejak sekian lama bermula di peringkat prasekolah sehingga ke peringkat prauniversiti.
Ketua Penerangan dan Publisiti BN, Datuk Ahmad Maslan berkata, isu itu sengaja digembar-gembur untuk mengaburi mata rakyat termasuk dalam isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang mahu dihapuskan mereka.
"Rakyat jangan keliru dan terpedaya dengan slogan 'Pendidikan Percuma' yang kini dipaparkan di papan-papan tanda pembangkang kerana isu itu sengaja dipolitikkan dengan harapan rakyat percaya dan yakin sekiranya mereka memerintah negara ini.
"Tanyalah kepada mana-mana ibu bapa yang menghantar anak-anak bersekolah hari ini adakah mereka dikenakan sebarang yuran oleh pihak sekolah, bukankah itu pendidikan percuma? Tetapi pembangkang masih tidak menerima hakikat ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan RM100 bagi Parlimen Pontian di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Mahmood Iskandar (1), di sini baru-baru ini.
Dalam majlis itu, Ahmad selaku Ahli Parlimen Pontian menyampaikan cek berjumlah RM1.7 juta kepada Pegawai Pelajaran Daerah Pontian, Msduki Shahri untuk diagihkan kepada 73 buah sekolah di kawasan tersebut yang disifatkan beliau sebagai subsidi kerajaan dalam bentuk wang tunai.
"Ibu bapa kena guna dengan sebaik-baiknya bantuan itu dengan membeli kelengkapan persekolahan anak-anak serta buku-buku rujukan bagi kegunaan mereka.
"Pontian menerima bantuan awal persekolahan berjumlah RM3.2 juta bermula 15 hingga 31 Januari ini," katanya.

Lawatan PM ke Gaza sinar harapan buat penduduk Palestin



KUALA LUMPUR 23 Jan. - Sikap mengambil berat dan prihatin Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap permasalahan rakyat memang telah terbukti di Malaysia dan dedikasi itu kini melebar melepasi sempadan negara.
Sebagai Perdana Menteri, keupayaan Najib memainkan peranan perantara dalam konflik antara Bangsamoro dan kerajaan Filipina tahun lepas memberi isyarat jelas terhadap keupayaan Malaysia menangani isu antarabangsa.
Kini, setelah mencatat sejarah menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama menjejak kaki di bumi Palestin apabila beliau mengadakan lawatan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza semalam, kelibat Najib di bumi para nabi itu tentunya menzahirkan harapan sebuah perdamaian baru mampu dijelmakan.
Beberapa ahli akademik ketika diajukan persoalan berhubung signifikasi lawatan Perdana Menteri itu menyimpulkan tindakan berani Najib memasuki kawasan yang belum stabil dari aspek keselamatannya membuktikan Malaysia prihatin terhadap nasib penduduk Palestin dan layak digelar pemimpin yang menjuarai umat Islam.
Dr. Amini Amir Abdullah dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, selain meningkatkan imej peribadi Perdana Menteri, lawatan kemanusiaan oleh pencetus Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) itu juga bakal memudahkan urusan perdamaian pihak bertelagah di Palestin, sekali gus memberi isyarat kepada kalangan negara Islam dan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk segera berbuat sesuatu.
Katanya, rakyat seharusnya berbangga memiliki seorang pemimpin yang memulakan tugas di awal tahun dengan menumpukan kepada perkara membabitkan kepentingan umat Islam, malah yakin lawatan ke Semenanjung Gaza yang didiami 1.7 juta rakyat Palestin itu akan menjadi satu daripada impak terbesar tahun 2013 yang dilakukan Najib selaku Perdana Menteri Malaysia.
“Di sebalik aspek keselamatan yang belum stabil, Najib memberanikan diri untuk hadir ke Gaza bagi merasai sendiri kekurangan yang dirasai penduduk Palestin, dan itu merupakan tindakan berani yang amat luar biasa bagi seorang pemimpin bergelar perdana menteri.
“Dari segi imej, Najib akan lebih dihormati, orang akan lihat di bawah kepimpinan beliau negara mula mengorak langkah yang lebih drastik dalam membantu dan meningkatkan hubungan diplomatik dengan Palestin, yang mana sebelum ini hanya dilakukan melalui penglibatan atau misi oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan orang persendirian.
"...dan saya percaya lawatan itu bukan sekadar untuk meninjau atau mengerat hubungan silaturahim tetapi ia secara tanpa sedar menunjukkan perpaduan ummah yang kukuh melangkaui batas geografi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Mengenai tindakan sesetengah pihak yang cuba mengaitkan tarikh lawatan itu sebagai taktik meraih undi menjelang pilihan raya umum yang bakal tiba, pensyarah daripada Fakulti Ekologi Manusia itu berkata, ia mungkin hanya satu kebetulan kerana sudah tentu perancangan Perdana Menteri untuk melawat Palestin, lokasi berkonflik tidak boleh dibuat dalam tempoh segera atau tergesa-gesa.
Amini Amir berkata, isu cuba meraih undi sepatutnya tidak timbul kerana jika diimbau, sokongan Malaysia dan kepimpinan negara terhadap penduduk Palestin dan perjuangan Hamas bukanlah sesuatu yang baru atau asing bagi masyarakat setempat.
“Saya percaya ia akan dijadikan isu tetapi kalau setiap daripada mereka yang ingin membuat indikasi sedemikian berfikir secara lebih positif, lawatan itu tentunya akan dilihat dari aspek yang lebih kritis iaitu Malaysia di bawah Najib sentiasa dekat dengan permasalahan yang dihadapi umat Islam, bukan saja di Malaysia bahkan melewati seantero dunia," katanya.
Beliau berkata, takrifan hubungan diplomatik yang sering dikaitkan dengan pemeteraian sesuatu perjanjian juga perlu didefinisikan semula kepada skop yang lebih luas dan makna baru itu terserlah melalui pertemuan atau lawatan secara bersemuka yang dilakukan Perdana Menteri semalam.
Cara lawatan secara bersemuka yang dipelopori Perdana Menteri itu juga tentunya bakal memberi impak diplomatik lebih besar kepada pembinaan atau pengukuhan hubungan antara dua negara, katanya.
Pensyarah Pusat Pengajian Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, kaedah bersemuka serta rundingan yang diaplikasikan Malaysia dalam menamatkan persengketaan dan telah terbukti berjaya sebelum ini mampu membawa pihak Hamas dan Fatah yang bertelagah ke meja rundingan.
“Malaysia telah memiliki rekod baik menjadi perantara dalam menamatkan perang saudara di Selatan Filipina dan tidak mustahil peranan sama boleh dimainkan Perdana Menteri dalam isu Palestin," katanya.
Beliau berkata, walaupun tindakan itu mempunyai risiko tersendiri tetapi peranan Malaysia yang diperakui negara Islam dan pemimpin OIC perlu diteruskan demi kelangsungan masyarakat Palestin yang aman.
“Malaysia perlu berperanan dan kita tidak boleh kecewakan mereka, malah sesiapa sahaja boleh memberikan sokongan dan bantuan tanpa perlu dibatasi ideologi politik," katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, lawatan kemanusiaan Perdana Menteri ke Gaza membantu meningkatkan profil Malaysia sebagai sebuah negara yang prihatin terhadap perjuangan rakyat Palestin.
“Tahniah dan syukur. Ini menunjukkan bahawa perdana menteri seorang pemimpin yang berani dan bertanggungjawab yang boleh menjadi juara kepada umat Islam di dunia dan bukan sahaja juara rakyat di Malaysia," katanya. - BERNAMA

30,000 hadir makan malam gelombang biru bersama TPM di Melaka



MELAKA 22 Jan. - Lebih 30,000 rakyat pelbagai lapisan masyarakat menyertai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri majlis makan malam gelombang biru negeri Melaka di perkarangan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh malam ini.
Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon; Presiden PPP, Datuk Seri M.Kayveas; Naib Presiden MCA, Datuk Chor Chee Heung dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan. - UTUSAN

Penyatuan umat Islam Asia Tenggara



Peserta mendengar pembentangan kertas kerja yang disampaikan oleh ilmuwan pada Seminar Nusantara Islam: Di Asia Tenggara - Cabaran Dan Harapan di PWTC, Kuala Lumpur, baru-baru ini. - UTUSAN/Izham Jaafar

MALAYSIA sering menjadi penggerak utama dalam memainkan peranan sebagai sebuah negara Islam di Asia Tenggara mahupun di peringkat dunia. Negara ini dilihat paling berjaya dalam membangunkan masyarakatnya melalui penghayatan dan aplikasi ajaran Islam secara sederhana.
Ini termasuk membangunkan asas-asas ekonomi, sosial dan agama secara adil dan saksama walaupun dalam suasana kemajmukan rakyatnya.
Dengan kelebihan ini, Malaysia turut menjadi tempat rujukan masyarakat Islam minoriti khususnya di rantau Asia Tenggara jika wujud sebarang isu dan konflik yang timbul dalam menghadapi cabaran di negara mereka.
Fakta itu diakui oleh masyarakat Islam Kemboja melalui Ahli Parlimennya, Zakaryya Adam yang menyatakan Malaysia adalah model terbaik yang boleh dicontohi kerana berjaya mengembangkan sistem ekonomi Islam sehingga diakui di serata dunia.
Namun, mutakhir ini, hak dan kepentingan Islam cuba diganggu-gugat dan dicabar oleh masyarakat bukan Islam yang perlu ditangani secara bijak. Bukan itu sahaja, pelbagai cabaran lain membabitkan persoalan hidup turut melingkari masyarakat minoriti Islam dalam bidang ekonomi, politik, budaya dan agama.
Justeru, kekuatan antara umat Islam serantau perlu dibina untuk mencari kesatuan dalam kalangan umat Melayu Islam agar agama suci ini dilihat sebagai agama yang mencintai kedamaian bukannya keganasan.
Dalam usaha memainkan peranan itu, satu Seminar Nusantara: Islam di Asia Tenggara - Cabaran dan harapan dianjurkan bagi membentuk kesatuan pemikiran melalui pendekatan wasatiyyah dalam kalangan masyarakat Islam agar dapat berperanan baik di negara masing-masing.
Seminar yang dianjurkan tiga hari yang berakhir kelmarin itu mengumpulkan tokoh ilmuwan dan pemimpin Islam serantau bagi menggembleng tindakan bersama terhadap isu-isu yang mendepani kedudukan mereka.
Dengan menampilkan lapan ilmuwan Islam yang membentangkan kertas kerja masing-masing, seminar yang merupakan cetusan ilham Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu berjaya mencapai kata sepakat untuk tindakan pemimpin-pemimpin umat Islam Nusantara serta masyarakat Melayu Islam keseluruhannya.
Kejayaan umat Islam tidak mungkin akan dicapai tanpa perpaduan kukuh sebagai teras dalam membina kekuatan sesama umat Melayu Islam melalui tiga mekanisme penting iaitu sejarah bangsa, agama Islam dan bahasa Melayu.
Antara pembentang yang menarik perhatian ialah Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Sidek Baba; Timbalan Rektor Universiti Islam Yala, Thailand, Dr. Ahmad Omar Chapakia; Pengerusi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Murad Ebrahim dan Profesor Pelawat Kolej Kerajaan Undang-Undang dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM Colgis), Prof. Datuk Dr. Zainal Kling.
Turut serta, Pengkaji Islam di Myanmar, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd. Mohiyuddin Mohd. Sulaiman; Pensyarah Universiti Kebangsaan Singapura, Prof. Muhammad Hussin Mutalib; Imam Besar Masjid Istiqlal, Indonesia, Prof. Dr. Ali Mustafa Yakub dan Ahli Parlimen Kemboja, Zakryya Adam.
Tokoh-tokoh dan ilmuwan Islam itu membincangkan cabaran dan harapan serta kebangkitan umat Islam di negara masing-masing termasuk pembangunan sosio ekonomi masyarakat minoriti Islam di sana.
Dalam resolusi yang dicapai pada seminar yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu, mereka bersepakat bahawa sejarah tamadun Melayu Islam negara-negara Asia Tenggara perlu diangkat semula untuk disebarkan dalam pendekatan yang menjurus kepada pembinaan perpaduan umat tanpa merosakkan hubungan antara negara serantau sedia ada.
Pengalaman sejarah yang menampilkan elemen wasatiyyah, hikmah dan toleransi harus menjadi asas usaha pembugaran sejarah itu dalam semangat kebersamaan serumpun dalam kalangan umat Melayu Islam Nusantara.
Persamaan akidah Islamiah mampu menjadi elemen penyatuan yang kuat maka ia harus diperkasakan dalam aspek kehidupan sambil memelihara Maqasid al-Syariah yang berteraskan kesederhanaan dan keseimbangan melalui kesepakatan untuk membanteras penyebaran virus liberalisme dan pluralisme yang kian menjadi ancaman kepada kesucian akidah dengan cara berdiskusi dan wacana berterusan yang memberi kefahaman kepada umat Islam serantau.
Pemikiran satu umat (wahdatul fikr) berasaskan akidah Islamiah yang luhur perlu diterapkan demi perpaduan serumpun berpaksikan pendekatan ahli sunnah wal jamaah sekali gus menolak mana-mana pendekatan yang terlalu rigid atau longgar.
Menyedari persamaan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi dan penyatuan hubungan kerjasama yang erat sejak dahulu hingga kini, maka keunggulan bahasa itu perlu dimartabatkan dengan mengukuhkan aspek penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan, keilmuwan dan perdagangan di rantau Nusantara.
Maka, aspek pembelajaran bahasa Melayu dalam kalangan minoriti Melayu Islam perlu diperkasakan dengan menyediakan prasarana pendidikan dan latihan yang mencukupi di samping menganjurkan wacana dan penerbitan serantau bagi menggalakkan penggunaan bahasa Melayu.
Sebagai tindakan segera selepas seminar yang dianjurkan Persatuan Generasi Bestari dan MyKMU.net itu, Malaysia bersedia menubuhkan sekretariat Kerjasama Nusantara (Sutera) sebagai platform membincangkan isu-isu dalam pelbagai bidang sekali gus mencari penyelesaian strategikmeliputi komuniti umat Melayu Islam Asia Tenggara.
Mengumumkan perkara itu semasa penutupan seminar tersebut, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, sekretariat itu akan dikendalikan oleh Institut Wasatiyah Negara yang diketuai Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Md. Zin bersama Persatuan Generasi Bestari.
Katanya, Sutera akan menjadi pusat sehenti pembinaan jaringan kerjasama dan perkongsian kepakaran serta ilmu di antara komuniti Melayu-Islam Nusantara dalam pelbagai bidang strategik yang dikenal pasti.
''Sutera akan mengenal pasti, mencadang dan memantau tindakan-tindakan strategik yang boleh dilaksanakan oleh institusi swasta dan kerajaan negara-negara terbabit demi kemaslahatan umat Melayu Islam Nusantara," katanya.
Selain sekretariat itu, Malaysia juga akan berusaha menjadi peneraju atau fasilitator dunia Melayu Islam Nusantara dalam konteks membina jaringan dan kerjasama serantau dalam bidang keilmuan dan pendidikan latihan, ekonomi dan perniagaan, politik dan pentadbiran serta budaya dan kemasyarakatan.
Umat Islam serantau juga perlu dibantu untuk menghadapi cabaran di negara mereka dalam kerangka diplomatik, wasatiyyah dan hubungan semangat ASEAN yang harmoni demi kebaikan bersama.

UMNO sasar 80 peratus sokongan pengundi di setiap DUN



AHMAD MASLAN... Ketua Penerangan UMNO.

SHAH ALAM 20 Jan.- UMNO menyasarkan 80 peratus sokongan daripada kalangan pengundi di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Ketua Penerangannya, Datuk Ahmad Maslan berkata, ia merupakan sasaran yang munasabah memandangkan senario politik negara kebelakangan ini.
"Kita bukan tidak mahu menyasarkan sokongan seratus peratus bagi setiap DUN. Dalam keadaan politik hari ini, sasaran 80 peratus adalah realistik untuk dicapai.
"Bukan mudah untuk kita mencapai sokongan penuh walaupun kita telah melakukan segala yang perlu. Biar kita membuat sasaran yang tidak mustahil untuk dicapai," katanya selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Seksyen 6 di sini hari ini. - UTUSAN

Seminar Islam Nusantara: Tujuh resolusi dilulus



SEBAHAGIAN peserta yang mengikuti Seminar Nusantara - Islam di Asia Tenggara: Cabaran dan Harapan di PWTC, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF

KUALA LUMPUR 20 Jan. - Seminar Nusantara - Islam di Asia Tenggara: Cabaran dan Harapan yang berakhir hari ini mencapai tujuh resolusi untuk tindakan pemimpin-pemimpin umat Islam Nusantara dan Masyarakat Melayu Islam Keseluruhannya.
Antara tindakan segera resolusi itu, sebuah Sekretariat Kerjasama Nusantara (Sutera) akan diwujudkan sebagai pusat sehenti bagi menyelesaikan pelbagai isu yang memerlukan penyelesaian strategik meliputi komuniti umat Islam di rantau itu.
Resolusi itu diserahkan oleh Pengerusi Persatuan Generasi Bestari, Mohd. Yusof Din kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan pada majlis penutup seminar itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini. - UTUSAN

PRU-13: Permatang Pauh kena 'tempias'



BUKIT MERTAJAM 14 Jan. - Permatang Pauh merupakan antara kawasan yang dijangka menerima 'tempias' akibat perubahan besar corak politik di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.
Timbalan Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Muhammad Nasir Abdullah berkata, rakyat di kubu kuat Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim itu kini mulai sedar bahawa wakil rakyat mereka gagal membawa kemajuan di situ.
Menurutnya, Anwar selama ini hanya memainkan sentimen dan tidak berusaha untuk mengubah nasib rakyat menjadi lebih baik.
"Permatang Pauh sudah tidak kuat buat Anwar. Dia hanya kuat dari segi sentimen tetapi dari segi kerja, tidak buat apa-apa.
"Berbeza dengan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO di mana setiap minggu kita turun padang bertemu rakyat dan memberi sumbangan.
"Begitu juga dengan Pas yang dilihat wujud perpecahan dalam kalangan ahli-ahlinya," katanya.
Beliau ditemui pemberita semasa program Tinjauan Mesra Penerangan oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan ke Pusat Daerah Mengundi Permatang Pasir di sini semalam.
Kelmarin, Setiausaha BN Pulau Pinang, Datuk Omar Faudzar menjangkakan perubahan besar akan berlaku kepada corak politik di negeri ini pada pilihan raya umum nanti ekoran peningkatan sokongan kaum Cina dan India terhadap BN.

Thursday, January 17, 2013















Bersama rombongan FELDA Gedangsa di Putrajaya


Peneroka dapat bonus RM102j


FELDA langsai bonus


Prays for TUN RAZAK


Siti Zuliha terharu rumah sudah uzur dibaiki semula



AHMAD Maslan (tiga dari kanan) dan Mohd. Hazmi Yusof (kiri) memasang papan rumah Siti Zuliha Yunus (kanan) pada program Tinjauan Mesra Penerangan di Kampung Peram, Kuantan, baru-baru ini.

KUANTAN 15 Jan. - Seorang kakitangan am di Kampung Jeram di sini terharu apabila kediamannya yang uzur dibaiki semula dengan peruntukan RM5,000 menerusi program Tinjauan Mesra Penerangan baru- baru ini.
Menerusi program tersebut, kakitangan tersebut, Siti Zuliha Yunus, 39, menerima bahan binaan seperti atap, kayu, simen dan batu-bata untuk membaik pulih rumah berkenaan.
Siti Zuliha ketika ditemui bersyukur dan terharu kerana nasib keluarganya mendapat perhatian daripada kerajaan serta tidak lagi gusar setiap kali musim hujan.
Katanya, setiap kali hujan, dia dan suaminya, Abdul Jalil Abdullah yang bekerja sebagai buruh hanya mampu melihat keadaan dalam rumah dibasahi air kerana tidak mampu membaiki atap yang bocor.
"Suami saya pula kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini sejak 17 Disember tahun lalu dipercayai akibat tekanan jiwa dan tidak mampu membaiki rumah ini.
"Bantuan itu meringankan beban saya dan kini hanya mampu berdoa supaya suami kembali pulih seperti biasa," katanya yang juga mempunyai anak berusia lapan tahun di sini.
Dia ditemui pemberita selepas gotong royong membaiki rumahnya yang disertai oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dan Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mohd. Hazmi Yusof.
Yang turut hadir Setiausaha Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rahim Abas dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Indera Mahkota, Mazlina Mohamad Lazim.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, aktiviti tersebut merupakan sebahagian program yang dijalankan di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh negara.
"Usaha membantu rakyat bukan ikut musim, sebaliknya dilakukan secara berterusan," katanya sambil memberitahu bantuan diberikan mengikut keperluan di setiap PDM terlibat.

PRU-13: Permatang Pauh kena 'tempias'


BUKIT MERTAJAM 14 Jan. - Permatang Pauh merupakan antara kawasan yang dijangka menerima 'tempias' akibat perubahan besar corak politik di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Timbalan Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Muhammad Nasir Abdullah berkata, rakyat di kubu kuat Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim itu kini mulai sedar bahawa wakil rakyat mereka gagal membawa kemajuan di situ.
Menurutnya, Anwar selama ini hanya memainkan sentimen dan tidak berusaha untuk mengubah nasib rakyat menjadi lebih baik.
"Permatang Pauh sudah tidak kuat buat Anwar. Dia hanya kuat dari segi sentimen tetapi dari segi kerja, tidak buat apa-apa.
"Berbeza dengan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO di mana setiap minggu kita turun padang bertemu rakyat dan memberi sumbangan.
"Begitu juga dengan Pas yang dilihat wujud perpecahan dalam kalangan ahli-ahlinya," katanya.
Beliau ditemui pemberita semasa program Tinjauan Mesra Penerangan oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan ke Pusat Daerah Mengundi Permatang Pasir di sini semalam.
Kelmarin, Setiausaha BN Pulau Pinang, Datuk Omar Faudzar menjangkakan perubahan besar akan berlaku kepada corak politik di negeri ini pada pilihan raya umum nanti ekoran peningkatan sokongan kaum Cina dan India terhadap BN.

BN yakin tawan semula Pulau Pinang - Ahmad Maslan




TASEK GELUGOR 13 Jan. - Barisan Nasional (BN) yakin dapat menawan semula negeri yang kini ditadbir pembangkang termasuk Pulau Pinang pada pilihan raya umum ke-13 ini.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, keyakinan itu bersandarkan kejayaan pelbagai inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan BN.
"Dulu kalah di pelbagai tempat sebab ada tsunami politik. Sekarang ini telah dihentikan Datuk Seri Najib, Tan Sri Muhyiddin (Yassin) dan seluruh pasukan dengan pelbagai produk 1Malaysia yang ada 20 jenama untuk semua kumpulan.
"Kita ada NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara), NKEA (Bidang Ekonomi Utama Negara), pelbagai program transformasi seperti transformasi kerajaan, ekonomi, luar bandar, politik dan digital. Program turun padang, tinjauan mesra... semuanya ini amat digemari oleh rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Focus Group Youth Sports Challenge di sini hari ini. - BERNAMA

Tinjauan Mesra Penerangan (P.Pinang)