Thursday, January 17, 2013

23 mangsa ribut di Pontian terima sumbangan


Ahmad Maslan (tengah) bersama mangsa ribut yang menerima sumbangan di Pontian, Johor.

PONTIAN 12 Jan. - Seramai 23 mangsa ribut di Kampung Parit Satu, Parit Dua dan Puteri Menangis Mukim Ayer Baloi Rabu lalu menerima sumbangan daripada Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 3 petang itu telah menyebabkan beberapa kerosakan terutamanya bumbung yang diterbangkan angin, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Seorang penerima, Md. Pono Adnan, 54, berkata, kejadian bermula dengan hujan diikuti angin kuat dan ribut petir yang datang secara tiba-tiba menyebabkan bumbung rumahnya diterbang angin sejauh 100 meter.
Pada waktu kejadian, dia dan isteri serta seorang anak perempuan mereka berada di ruang tamu dan terus berlari keluar menyelamat diri ke tempat yang selamat.
"Walaupun bumbung rumah rosak, saya bersyukur kerana semua keluarga selamat dan berterima kasih atas sumbangan yang diterima yang akan digunakan bagi membeli zink dan membaiki kerosakan itu," katanya.
Seorang lagi mangsa, Norazizah Parin, 42, berkata, kejadian tersebut telah menyebabkan sebanyak 30 keping zink rumahnya diterbangkan angin semasa dia dan suaminya tiada di rumah.
Dia hanya mengetahui kejadian itu ketika pulang bekerja pukul 5 petang dan terkejut melihat apa yang berlaku dan sumbangan yang diterima akan digunakan untuk membeli peralatan rumah yang baru.
Sementara itu, Ahmad meminta pemimpin setempat segera menghulurkan bantuan kepada semua mangsa bagi meringankan bebanan mereka.
"Begitu juga jabatan dan agensi kerajaan yang berkenaan agar segera dapat memberikan bantuan yang diperlukan supaya mereka dapat menjalani kehidupan seperti biasa," katanya.

No comments:

Post a Comment