Monday, January 7, 2013

40 warga Kemas kayuh basikal 140 kilometer



PONTIAN 30 Dis. - Seramai 40 pegawai dan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) negeri menyertai program berbasikal Kembara Muhibah sejauh 140 kilometer bermula dari Kampung Sri Gunung Pulai, Kulaijaya sehingga ke Kampung Parit Mastar di sini baru-baru ini.
Program yang julung kali diadakan itu bertujuan mendekatkan pegawai dan kakitangan agensi tersebut dengan masyarakat.
Sepanjang dua hari program, pelbagai aktiviti seperti gotong-royong dan ramah mesra bersama penduduk tempatan diadakan.
Penolong Pengarah Operasi 2 Kemas negeri, Zamri Razak berkata, para peserta singgah di Kampung Chokro, Simpang Renggam selain melalui Pusat Pertanian Moden di Ayer Hitam, Kluang.
"Program ini turut mendapat sokongan daripada Pusat Kurikulum, Jabatan Pelajaran Negeri, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta Polis Diraja Malaysia," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau berkata, majlis penutupan disempurnakan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Sementara itu, seorang peserta, Mohd. Wira Satria Kamari, 29, gembira kerana semua peserta berjaya melakukan kayuhan sejauh itu walaupun ramai yang jarang menunggang basikal melibatkan jarak yang jauh.
"Sepanjang dua hari kami menempuh hujan sepanjang perjalanan, tidak menghalang kami meneruskan kayuhan demi menjayakan objektif program itu," katanya.

No comments:

Post a Comment