Monday, January 28, 2013

Muhyiddin mulakan lawat tiga hari ke Sarawak



Muhyiddin Yasin mempengerusikan taklimat Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Sarawak di ibu pejabat PBB di Jalan Bako, Petra Jaya Kuching, Sarawak, malam tadi. Turut hadir Abdul Taib Mahmud (kanan). 

KUCHING 27 Jan. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memulakan lawatan kerja selama tiga hari ke negeri ini dengan menghadiri Taklimat Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Sarawak di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) negeri di Jalan Bako di sini malam ini.
Taklimat tertutup yang bermula pukul 8.30 malam itu dihadiri Pengerusi BN Sarawak merangkap Presiden PBB, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Timbalan Presiden PBB, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.
Yang hadir sama Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Peter Chin Fah Kui; Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Tan Sri William Mawan; Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr. James Jemut Masing dan pemimpin-pemimpin BN negeri.
Pada majlis itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN dimaklumkan tentang persiapan BN negeri dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 dan isu-isu berbangkit.
Terdahulu, Muhyiddin tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini pada pukul 6 petang.
Ketibaan beliau disambut Abdul Taib dan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta pemimpin-pemimpin negeri.
Sementara itu, jadual padat Timbalan Perdana Menteri esok akan dimulakan dengan melawat balu mendiang Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau, Datin Brawang Chunggot di Kampung Sungai Apong, seterusnya beramah mesra dengan penduduk kampung tersebut.
Selepas itu, beliau akan merasmikan Medan Niaga Satok di Parlimen Petrajaya dan dijangka menyampaikan ucapan kepada penjawat-penjawat awam di Hotel Pullman.
Pada sebelah petang, Muhyiddin akan bersantai bersama para belia di Pusat Rekreasi Bersepadu Kuching (KIRC) di Jalan Budaya, seterusnya menghadiri majlis makan malam bersama ribuan rakyat dalam Majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia di Siniawan Old Bazar, Bau.

No comments:

Post a Comment