Monday, January 28, 2013

Pendidikan percuma retorik pembangkang - Ahmad Maslan



AHMAD Maslan (tengah) menyampaikan replika cek RM1.7 juta kepada Msduki Shahri (kanan) di Pontian, Johor, baru-baru ini.

PONTIAN 23 Jan. - Laungan pendidikan percuma yang dicanang pembangkang adalah retorik demi meraih sokongan rakyat semata- mata kerana Barisan Nasional (BN) telah melaksanakan perkara tersebut sejak sekian lama bermula di peringkat prasekolah sehingga ke peringkat prauniversiti.
Ketua Penerangan dan Publisiti BN, Datuk Ahmad Maslan berkata, isu itu sengaja digembar-gembur untuk mengaburi mata rakyat termasuk dalam isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang mahu dihapuskan mereka.
"Rakyat jangan keliru dan terpedaya dengan slogan 'Pendidikan Percuma' yang kini dipaparkan di papan-papan tanda pembangkang kerana isu itu sengaja dipolitikkan dengan harapan rakyat percaya dan yakin sekiranya mereka memerintah negara ini.
"Tanyalah kepada mana-mana ibu bapa yang menghantar anak-anak bersekolah hari ini adakah mereka dikenakan sebarang yuran oleh pihak sekolah, bukankah itu pendidikan percuma? Tetapi pembangkang masih tidak menerima hakikat ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan RM100 bagi Parlimen Pontian di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Mahmood Iskandar (1), di sini baru-baru ini.
Dalam majlis itu, Ahmad selaku Ahli Parlimen Pontian menyampaikan cek berjumlah RM1.7 juta kepada Pegawai Pelajaran Daerah Pontian, Msduki Shahri untuk diagihkan kepada 73 buah sekolah di kawasan tersebut yang disifatkan beliau sebagai subsidi kerajaan dalam bentuk wang tunai.
"Ibu bapa kena guna dengan sebaik-baiknya bantuan itu dengan membeli kelengkapan persekolahan anak-anak serta buku-buku rujukan bagi kegunaan mereka.
"Pontian menerima bantuan awal persekolahan berjumlah RM3.2 juta bermula 15 hingga 31 Januari ini," katanya.

No comments:

Post a Comment