Monday, January 28, 2013

PRU-13: Permatang Pauh kena 'tempias'



BUKIT MERTAJAM 14 Jan. - Permatang Pauh merupakan antara kawasan yang dijangka menerima 'tempias' akibat perubahan besar corak politik di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.
Timbalan Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Muhammad Nasir Abdullah berkata, rakyat di kubu kuat Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim itu kini mulai sedar bahawa wakil rakyat mereka gagal membawa kemajuan di situ.
Menurutnya, Anwar selama ini hanya memainkan sentimen dan tidak berusaha untuk mengubah nasib rakyat menjadi lebih baik.
"Permatang Pauh sudah tidak kuat buat Anwar. Dia hanya kuat dari segi sentimen tetapi dari segi kerja, tidak buat apa-apa.
"Berbeza dengan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO di mana setiap minggu kita turun padang bertemu rakyat dan memberi sumbangan.
"Begitu juga dengan Pas yang dilihat wujud perpecahan dalam kalangan ahli-ahlinya," katanya.
Beliau ditemui pemberita semasa program Tinjauan Mesra Penerangan oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan ke Pusat Daerah Mengundi Permatang Pasir di sini semalam.
Kelmarin, Setiausaha BN Pulau Pinang, Datuk Omar Faudzar menjangkakan perubahan besar akan berlaku kepada corak politik di negeri ini pada pilihan raya umum nanti ekoran peningkatan sokongan kaum Cina dan India terhadap BN.

No comments:

Post a Comment