Monday, January 7, 2013

Rakyat beri petunjuk BN tawan Parlimen Bakri dalam PRU-13



MUAR 24 Dis. - Barisan Nasional (BN) yakin dapat merampas semula kerusi Parlimen Bakri daripada DAP dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, keyakinan untuk menawan semula Parlimen Bakri itu berdasarkan peningkatan sokongan penduduk daerah tersebut kepada BN.
"Sepanjang enam kali lawatan ke Parlimen Bakri, saya gembira dengan perkembangan sedia ada dan perubahan serta strategi yang telah dilakukan kepimpinan UMNO dan BN untuk merealisasikan hasrat mendapatkan semula kerusi itu.
"BN boleh menang jika parti komponennya bersatu, bekerjasama dan sepakat untuk menewaskan pembangkang," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Penerangan Jentera Pilihan Raya Parlimen Bakri, Jamuan Deepavali Meraikan Warga Emas dan Penyampaian Bantuan Mangsa Ribut di Bangunan UMNO Bakri di sini malam semalam.
Yang turut hadir Pengerusi BN Bahagian Bakri, Datuk Saipolbahari Suib; Pegawai Khas Menteri Besar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bentayan, Chriss Lee Ching Yong dan Ketua MIC Bahagian Bakri, M. Aridas.
Pada PRU-12, Er Teck Hwa (DAP) menewaskan Tay Puan Chuan (BN) dengan majoriti 722 undi bagi kerusi Parlimen Bakri.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, terdapat 26 Parlimen di Johor, tetapi hanya Parlimen Bakri jatuh ke tangan pembangkang dalam pilihan raya lalu.
"Ini menunjukkan bahawa Johor masih lagi kubu kuat UMNO dan BN, oleh itu, kita (pemimpin BN) perlu melipatgandakan usaha untuk merampas kembali Parlimen Bakri," katanya.
Beliau berkata, Parlimen Bakri mempunyai 1,500 pengundi India dan kehadiran mereka dalam program-program kerajaan membuktikan sokongan padu masyarakat itu terhadap BN.
Menurutnya, peluang tersebut semakin cerah apabila sokongan masyarakat Cina juga sudah kembali untuk memudahkan usaha mengambil alih kerusi DUN Bentayan dan Sungai Abong.
Kerusi DUN Bentayan kini disandang oleh Gwee Tong Hiang (DAP) yang menewaskan Ching Yong (BN) dengan 2,796 undi manakala DUN Sungai Abong dimenangi Dr. Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh (Pas) setelah mengalahkan Kamaruddin Suratman (BN) dengan 1,550 undi.
Dalam pilihan raya umum lalu, BN hanya menang di DUN Bukit Naning menerusi wakilnya Abdullah @ Md. Khalid Md. Ali (BN) setelah menewaskan Elias @ Alias Shamsir (PKR) dengan 2,895 undi.

No comments:

Post a Comment