Thursday, January 17, 2013

Siti Zuliha terharu rumah sudah uzur dibaiki semula



AHMAD Maslan (tiga dari kanan) dan Mohd. Hazmi Yusof (kiri) memasang papan rumah Siti Zuliha Yunus (kanan) pada program Tinjauan Mesra Penerangan di Kampung Peram, Kuantan, baru-baru ini.

KUANTAN 15 Jan. - Seorang kakitangan am di Kampung Jeram di sini terharu apabila kediamannya yang uzur dibaiki semula dengan peruntukan RM5,000 menerusi program Tinjauan Mesra Penerangan baru- baru ini.
Menerusi program tersebut, kakitangan tersebut, Siti Zuliha Yunus, 39, menerima bahan binaan seperti atap, kayu, simen dan batu-bata untuk membaik pulih rumah berkenaan.
Siti Zuliha ketika ditemui bersyukur dan terharu kerana nasib keluarganya mendapat perhatian daripada kerajaan serta tidak lagi gusar setiap kali musim hujan.
Katanya, setiap kali hujan, dia dan suaminya, Abdul Jalil Abdullah yang bekerja sebagai buruh hanya mampu melihat keadaan dalam rumah dibasahi air kerana tidak mampu membaiki atap yang bocor.
"Suami saya pula kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini sejak 17 Disember tahun lalu dipercayai akibat tekanan jiwa dan tidak mampu membaiki rumah ini.
"Bantuan itu meringankan beban saya dan kini hanya mampu berdoa supaya suami kembali pulih seperti biasa," katanya yang juga mempunyai anak berusia lapan tahun di sini.
Dia ditemui pemberita selepas gotong royong membaiki rumahnya yang disertai oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dan Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mohd. Hazmi Yusof.
Yang turut hadir Setiausaha Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rahim Abas dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Indera Mahkota, Mazlina Mohamad Lazim.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, aktiviti tersebut merupakan sebahagian program yang dijalankan di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh negara.
"Usaha membantu rakyat bukan ikut musim, sebaliknya dilakukan secara berterusan," katanya sambil memberitahu bantuan diberikan mengikut keperluan di setiap PDM terlibat.

No comments:

Post a Comment