Thursday, February 28, 2013

'Pas masuk perangkap Anwar' - Ahmad Maslan


KOTA BHARU 28 Feb. - Pas telah terperangkap ke dalam agenda peribadi Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila Presidennya, Datuk Seri Abdul
Hadi Awang bertindak menyediakan dan menandatangani syarat serta persetujuan bersama yang digunakan pakatan pembangkang dalam membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, perangkap yang dipasang itu akhirnya dimanipulasi oleh Anwar untuk meredakan kemarahan orang Islam terutama ahli Pas dengan mendedahkan bahawa persetujuan berkenaan telah dibuat dan ditandatangani oleh Abdul Hadi.
Katanya, pendedahan Anwar itu adalah untuk memastikan Pas turut bertanggungjawab menghadapi kemarahan rakyat, bukannya kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP semata-mata.
"Saya kira Anwar sudah melihat isu ini tidak popular dalam kalangan Melayu dan Islam khasnya, jadi dia pun ingin menjadikan tidak popular dirinya dan Lim
Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) turut dirasai oleh Pas.
"Dia tidak mahu Pas lepas tangan terhadap perkara ini, kerana tentunya beliau
kesal apabila Pas pusing 360 darjah sedangkan persetujuan sudah dicapai dan
membuktikan persepakatan dalam pakatan pembangkang adalah rapuh.
"Daripada apa yang dilaporkan memang benar dia mahu bantahan itu sama-sama ditanggung oleh Pas. Dia tidak mahu diri sendiri turun, DAP turun tetapi Pas juga perlu turun memberi penjelasan bahawa mereka yang menyokong isu ini," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Himpunan Barisan 1Malaysia
Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan di sini hari ini.

Pembangkang mula bimbang


AHMAD Maslan (baju biru) melihat tarian singa selepas merasmikan Program Himpunan Barisan 1Malaysia Peringkat Negeri Kedah, di Dewan Sri Zaleha Naza Gurun, Kedah,

SUNGAI PETANI 25 Feb. - Pemimpin pembangkang tidak sepatutnya mencemuh atau mencaci usaha kerajaan dalam pengagihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang memberi manfaat kepada penerima.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, jika perkara itu baik maka ia perlu diberi sokongan padu kerana penerima bantuan terbabit bukan golongan senang.
"Semua bantuan diberikan bagi meringankan bebanan rakyat dan ini menunjukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) amat prihatin dengan masalah rakyat," katanya selepas Program Himpunan Barisan 1Malaysia Peringkat Negeri Kedah di sini semalam.
Lebih 2,000 ahli pelbagai pertubuhan bukan kerajaan di negeri Kedah menyertai perhimpunan itu.
Ahmad berkata, tindakan pembangkang yang sanggup membuat pelbagai tuduhan termasuk menyifatkan pemberian BR1M umpama memberi makanan kepada haiwan, amat tidak wajar.
"Pakatan pembangkang sebenarnya begitu bimbang pengaruh mereka akan hilang jika kerja-kerja kebaikan itu terus dibuat oleh pemimpin BN di semua negeri," katanya.
Beliau menambah, segala formula yang dilaksanakan oleh pemimpin pembangkang pula tidak begitu menarik.
"Mereka hanya boleh bercakap, berjanji dan mengarang manifesto tetapi tidak mampu melakukannya seperti manifesto pilihan raya umum 2008 lalu.
"Setelah kita buat kerja yang baik, mereka beri pelbagai gelaran buruk pada BN," katanya.

Rakyat diingat manifesto pembangkang bukan janji



KUALA LUMPUR 25 Feb. - Rakyat di negara ini diingat bahawa semua manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pakatan pembangkang sepertimana diumumkan hari ini bukanlah suatu janji sebaliknya hanya retorik semata-mata.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, ini disandarkan kepada kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mengakui manifesto pembangkang pada pilihan raya umum lalu bukanlah sebuah janji.
Menurutnya, rekod menunjukkan bahawa apa yang dicanang menerusi manifesto mereka sebelum ini tidak ditunaikan walaupun mereka berjaya menjadi pemerintah di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.
Ini berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memberikan banyak bantuan kepada hampir seluruh golongan rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan untuk pelajar sekolah, baucar buku dan lain-lain, walaupun ia tidak pernah dijanjikan sebelum ini.
"Ia jelas menunjukkan pembangkang berjanji tetapi mereka tidak buat sebaliknya BN tidak berjanji tetapi buat. Bantuan-bantuan seperti BR1M dan lain-lain tiada dalam manifesto BN sebelum ini tapi kita berikan kepada rakyat," katanya kepada Utusan Online hari ini.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, agak sukar bagi pembangkang mahu menurunkan harga minyak kerana kos subsidi kerajaan pada masa kini ialah RM2 bilion sebulan.
"Nak turunkan lagi. Berapa banyak wang yang perlu dikeluarkan setiap bulan sedangkan pada masa kini kerajaan menanggung kos subsidi RM2bilion sebulan untuk memastikan harga petrol RON95, diesel dan gas memasak pada kadar sekarang. Semua janji itu tidak berpijak di bumi nyata," katanya.
Sementara itu bekas Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Dr. Abdul Latiff Awang berkata, pembangkang boleh mengumumkan beribu-ribu manifesto sekali pun tetapi kenyataannya mereka tidak berhasrat pun mahu melaksanakannya.
Menurut beliau, Pas sendiri pernah menggariskan lebih 100 manifestonya pada pilihan raya umum 1999 untuk negeri Terengganu tetapi apabila mereka menang dan memerintah negeri itu, hanya sedikit sahaja yang dilaksanakan.
"Buatlah 1,000 manifesto pun tak apa. Khalid (Menteri Besar Selangor) sendiri kata manifesto bukan janji. Jadi pakatan pembangkang boleh keluar sebanyak mana pun, tidak perlu risau," katanya.

Abdul Khalid mahu tunjuk kuasa



SHAH ALAM 23 Feb. - Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dianggap sengaja mahu menunjukkan kuasa apabila bertindak menggantung pelaksanaan projek jalan dan prasarana oleh Kerajaan Persekutuan di negeri itu.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata, tindakan itu hanya kerana Mahkamah Tinggi memutuskan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) tidak ada kuasa mengeluarkan notis mengarahkan syarikat penyelenggara kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) meruntuhkan tiang dan menutup kamera AES di dua lebuh raya di Selangor.
Katanya, tindakan tersebut dilakukan semata-mata kerana politik sedangkan banyak projek yang dibawa Kerajaan Pusat seperti pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Serendah dan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) memberi manfaat kepada rakyat.
"Kuasa terakhir adalah daripada kerajaan negeri untuk memberikan kelulusan merancang kepada pembinaan kampus UiTM, yang cari duit adalah Kerajaan Pusat, itu pun dia tidak mahu beri.
"Apabila kalah dalam mahkamah, dia hendak tunjuk kuasa apabila mahu menggantung kelulusan yang diberikan kepada projek-projek Kerajaan Persekutuan," katanya selepas merasmikan Perhimpunan Barisan 1Malaysia di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dan para pemimpin belia dari seluruh negeri itu.
Perhimpunan itu menarik kira-kira 3,500 peserta membabitkan 200 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertekad mahu memberi sokongan padu kepada perjuangan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.
Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, Abdul Khalid juga sering kali bercakap tidak serupa bikin ekoran beberapa kenyataannya yang tidak selaras dengan tindakannya.

Abdul Khalid sengaja mahu tunjuk kuasa - Noh Omar



SHAH ALAM 23 Feb. - Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim disifatkan sengaja mahu menunjukkan kuasa apabila melakukan tindakan menyekat projek-projek yang hendak dilaksanakan oleh pihak lain termasuk Kerajan Pusat.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata, tindakan tersebut dilakukan semata-mata kerana perbezaan politik sedangkan banyak projek yang dibawa oleh Kerajaan Pusat seperti pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Serendah dan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) memberikan manfaat kepada rakyat negeri ini.
"Kuasa terakhir adalah daripada kerajaan negeri untuk memberika kelulusan merancang kepada pembinaan kampus UiTM, yang cari duit adalah Kerajaan Pusat, itu pun dia tidak mahu beri.
"Satu lagi isu kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), apabila kalah dalam mahkamah, dia hendak tunjuk kuasa apabila mahu menggantung kelulusan yang diberikan kepada projek-projek Kerajaan Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Barisan 1Malaysia di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dan para pemimpin belia dari seluruh negeri ini.
Perhimpunan itu menarik kira-kira 3,500 peserta membabitkan 200 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertekad mahu memberikan sokongan padu kepada perjuangan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. - UTUSAN

Bimbang Pas tewas, Nik Aziz perlekeh penerima BR1M


GAMBAR fail menunjukkan Nik Abdul Aziz Nik Mat memberikan sejumlah wang kepada Orang Asli ketika kempen pilihan raya kecil Galas, Gua Musang pada November 2010 lalu.

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Tekanan yang dihadapi ekoran bimbang kekalahan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) terutama di Kelantan menjadi sebab Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sanggup mengumpamakan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) seperti binatang peliharaan.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, sebagai seorang berpendidikan agama Islam yang tinggi, kenyataan Menteri Besar Kelantan itu jelas sangat tidak Islamik dan melambangkan hati budinya yang rendah.
“Nampaknya beliau tertekan dan kecewa kerana sokongan rakyat kepada Pas semakin merosot termasuk di Kelantan sendiri.
“Apa salahnya kerajaan memberikan bantuan kepada rakyat yang memerlukan, sedangkan beliau sendiri pernah memberikan wang kepada pengundi Orang Asli di Lojing sebelum ini," katanya kepada Utusan Online hari ini.
Ketika kempen pilihan raya kecil Galas pada November 2010, Nik Aziz dilaporkan telah memberikan sejumlah wang kepada penduduk Orang Asli di Lojing, Gua Musang bagi tujuan meraih undi.
Sementara itu Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, langkah kerajaan memberikan BR1M kepada rakyat berpendapatan rendah ternyata menjadi ketakutan kepada pembangkang, termasuk Nik Aziz.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, sehubungan dengan itu pelbagai gelaran negatif diberikan kepada BR1M dan terbaru mengumpamakannya seperti binatang yang berebut untuk mendapatkan makanan.
“Sejak dahulu lagi Nik Aziz sudah terkenal dengan bahasa kesat yang langsung tidak menggambarkan status seorang ulama. Ramai yang sudah tidak menganggap dia sebagai ulama atau tok guru.
“Beliau hanyalah seorang ahli politik yang khuatir kehilangan kerusi yang disandang sekarang serta negeri Kelantan pada PRU-13 nanti," katanya.
Ahmad berkata, rakyat kini termasuk di Kelantan semakin sedar dan akan bersama Barisan Nasional (BN) yang menjaga kebajikan mereka dan bukan bersama pemimpin yang memperlekeh dan menghina rakyat

Warga Felda perlu syukuri nikmat yang dikecapi - Dr.M



KUALA LUMPUR 18 Feb.- Warga Felda seharusnya bersyukur dengan segala nikmat yang diperolehi di bawah skim itu yang telah banyak membantu rakyat di negara ini memperbaiki kehidupan terutama di kalangan orang Melayu dari selepas zaman kemerdekaan sehingga sekarang.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr, Mahathir Mohamad berkata, mereka juga perlu berasa beruntung dan bernasib baik kerana kerajaan yang diberi kuasa selepas zaman penjajah terfikir untuk mewujudkan skim seperti Felda yang tidak terdapat di negara lain di dunia.
“Sebenarnya kita disini dapat banyak nikmat, nikmat yang datang sebab kita bernasib baik kerana pemerintah yang dipilih rakyat selepas zaman penjajah tahu tentang bagaimana hendak tolong rakyat dan nasib baik mereka terfikir hendak buat skim Felda.
“Malah tidak ada satu negara di dunia ini yang pernah adakan sistem untuk peneroka seperti Felda ini. Hanya di Malaysia yang ada sehingga ia berjaya menjadi satu tanda kemajuan negara," katanya ketika berucap pada Majlis Bersama Negarawan Ulung anjuran Felda di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad, Pengarah Besar Felda, Datuk Faizoull Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH), Datuk Sabri Ahmad.
Bekas Perdana Menteri berkata, beliau sendiri sebagai seorang yang pernah memimpin Malaysia selama 22 tahun berasa begitu bangga dengan kewujudan Felda dan fungsinya yang terlalu banyak berjasa kepada rakyat Malaysia dan orang Melayu.
“Sebelum Felda wujud, ramai kawan-kawan saya terpaksa masuk hutan menebang tebas pokok-pokok untuk dijadikan ladang getah dan sebagainya kerana tiada pekerjaan sehingga ada yang jatuh sakit malah meninggal dunia. Itu semua mereka lakukan tanpa sebarang bantuan dari sesiapa.
“Namun apabila kerajaan dipimpin oleh rakyat kita sendiri selepas zaman penjajah, perkara yang paling diutamakan ketika itu ialah untuk mengatasi kadar pengangguran yang tinggi di kalangan rakyat. Melihat kepada itu, maka kerajaan mengambil langkah mewujudkan skim Felda yang memberi peluang pekerjaan kepada ramai orang ketika itu," katanya. - UTUSAN

Pembangkang amal pecah dan perintah ala penjajah


KLUANG 17 Feb. - Pembangkang mengamalkan kaedah pecah dan perintah dalam strategi politik mereka, meniru kaedah yang dipraktik penjajah terhadap rakyat negara ini tidak lama dahulu, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan.
Ahmad, yang juga Ketua Penerangan UMNO, berkata kaedah yang diamal pembangkang itu amat merbahaya untuk masa depan negara.
"Mereka menggunakan kaedah penjajah dahulu iaitu pecah dan perintah untuk mendapatkan kuasa. Kaedah pecah dan perintah itu amat merbahaya kepada masa depan negara kerana ia akan mewujudkan perpecahan di antara masyarakat negara ini."
"Apa yang dilakukan oleh mereka adalah amat tidak wajar," katanya kepada pemberita selepas penutupan perhimpunan Barisan 1Malaysia oleh Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman di sini hari ini.
Beliau berkata menerusi kaedah pecah dan perintah, pembangkang cuba memecahbelahkan perpaduan kaum Melayu dan umat Islam negara ini dengan menuduh anggota UMNO sebagai murtad serta ingkar terhadap ajaran agama Islam.
Ahmad berkata pembangkang, menerusi strategi politik pecah dan perintah, cuba memporakperandakan keharmonian agama negara ini dengan mendesak supaya penganut agama Kristian dibenar menggunakan kalimah Allah dalam kitab Bible.
"Pembangkang juga cuba memecahkan keyakinan rakyat terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya dengan mengatakan kononnya suruhanjaya itu tidak bersih dan telus dalam mengendalikan pilihan raya umum," katanya. - BERNAMA

Jaminan beri BR1M bimbangkan pembangkang



HULU LANGAT 14 Feb. - Jaminan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak akan dihentikan malah akan disusuli pada tahun mendatang dilihat menggusarkan pihak pembangkang terutama dalam cubaan mereka meraih sokongan rakyat.
Ketua Biro Publisiti dan Penerangan Barisan Nasional (BN), Datuk Ahmad Maslan berkata, meskipun pembangkang menganggap pemberian BR1M merupakan rasuah kerajaan bagi membeli undi rakyat, namun majoriti penerima sedar bahawa bantuan itu merupakan usaha kerajaan mengurangkan beban yang ditanggung rakyat.
"Sehubungan itu jaminan Datuk Seri Najib tersebut sudah tentu dialu-alukan dan pastinya disambut gembira oleh rakyat. Namun ini pastinya dibimbangi pembangkang yang hanya mampu berjanji, namun akhirnya dimungkiri.
"Diharapkan kerajaan turut dapat meneruskan pemberian bantuan-bantuan lain seperti Bantuan Awal Persekolahan dan Baucar Buku 1Malaysia agar pulangan semula kepada rakyat dapat dinikmati masyarakat keseluruhan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan tinjauan mesra penerangan serta agihan sumbangan kepada warga emas dan ibu tunggal di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Semenyih di Dewan Komuniti Taman Semenyih Indah di sini.
Yang hadir sama Pengerusi Penyelaras BN Parlimen Hulu Langat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abd. Aziz.
Perdana Menteri ketika berucap dalam sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Johor semalam memberi jaminan BR1M tidak akan dihentikan sebaliknya akan disusuli dengan BR1M 3, BR1M 4 dan seterusnya.
Menurut Najib, pemberian bantuan itu diteruskan kerana seperti 139 produk 1Malaysia yang lain, BR1M adalah pulangan semula kepada rakyat hasil kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi.
Sementara itu menurut Ahmad, meskipun ada pihak menanggap nilai RM500 bantuan BR1M tersebut adalah kecil, namun jika diteliti bantuan berkenaan mampu menjana ekonomi setempat.
"Kita perlu tahu bahawa majoriti penerima BR1M ini tidak menyimpan bantuan tunai tersebut di bank sebaliknya dibelanjakan untuk kegunaan harian sama ada di kedai runcit, pasar tani mahupun gerai makan. Ini sekali gus meningkatkan ekonomi setempat," katanya.
Dalam pada itu ujarnya, sejak awal Januari lalu, lebih 80 PDM telah dilawati melibatkan 42 Parlimen di seluruh negara.
"Persiapan yang dilakukan oleh PDM tersebut dilihat amat memuaskan malah ada yang telah membuka bilik gerakan masing-masing lebih awal meskipun arahan menetapkan supaya bilik gerakan dibuka pada 1 Februari lalu," katanya.

PM jamin BR1M diteruskan



JOHOR BAHRU 12 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak akan dihentikan, malah akan disusuli dengan BR1M 3, BR1M 4 dan seterusnya pada tahun-tahun mendatang.
Menurut Perdana Menteri, pemberian bantuan itu diteruskan kerana seperti 139 produk 1Malaysia yang lain, BR1M adalah pulangan semula kepada rakyat hasil kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi.
"Kita pulangkan kepada rakyat kerana rakyat berhak untuk menerima kesan pertumbuhan yang kian meningkat. Saya sudah katakan sebagai kerajaan kita mesti dahulukan rakyat dengan mewujudkan dasar bersifat inklusif dan adil dan saya mulakan kepimpinan saya dengan menyatakan kita mesti merasai denyut nadi rakyat.
"Sebab itu kita buat BR1M dan kini BR1M 2. Saya yakin, berdasarkan apa yang telah kita lakukan dalam tempoh empat tahun, 'the best is yet to come' (yang terbaik bakal menyusul).
"Tidak kira tahun ular atau tahun naga atau tahun apa sekali pun, berkat kerjasama, perpaduan dan sokongan rakyat yang semakin jitu dan padu kepada Barisan Nasional (BN), kita akan menempa lima tahun yang lebih berjaya," katanya ketika berucap dalam sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Johor yang dihadiri oleh lebih 20,000 orang di pekarangan pasar raya Econsave Senai dekat sini hari ini.
Turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dan Ahli Parlimen Kulai, Datuk Seri Ong Ka Ting.
Terdahulu pada sebelah pagi, Najib mempengerusikan mesyuarat tertutup UMNO dan BN Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini.
Dalam ucapannya itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan telah membuktikan keupayaannya dengan mencatatkan kadar pertumbuhan negara adalah paling tinggi dalam masa 10 tahun manakala pendapatan perkapita rakyat meningkat daripada RM18,590 pada 2009 kepada RM27,890 pada akhir 2011.
"Ini bukan janji tetapi program transformasi yang sedang berjalan dengan rancak yang akan memberi faedah kepada rakyat jelata. Kalau kita hendak agenda transformasi ini dilaksanakan sepenuhnya, bergantung juga kepada mandat politik yang diterima daripada rakyat dalam masa tidak beberapa lama lagi.
"Kalau kita dapat tubuh kerajaan yang kuat maka kita akan menjurus kepada masa depan yang cukup hebat lagi cemerlang.
"Saya yakin pasaran akan melonjak lebih tinggi dan keyakinan akan terus memuncak dan kita semua mendapat faedah jika membuat pilihan yang tepat dalam pilihan raya nanti," katanya.
Tambah Najib, tuntutan perubahan yang disuarakan rakyat telah disahut oleh kerajaan melalui proses transformasi yang terancang dan sistematik serta terbukti membawa kepada keberhasilan yang lebih terjamin.

Lebih 10,000 rai Tahun Baharu Cina bersama PM


JOHOR BAHRU 12 Feb. - Lebih 10,000 masyarakat berbilang kaum membanjiri perkarangan Pasaraya Econsave di Senai, dekat sini hari ini bagi sama-sama memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri Johor bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri yang turut diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba pada pukul 3.45 petang selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Tertutup UMNO dan Barisan Nasional (BN) Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri, Prof. Datin Paduka Dr. Jamilah Ariffin; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, para Exco Kerajaan Negeri dan barisan pemimpin setempat.

Elak tsunami politik berulang



PONTIAN 10 Feb - Penubuhan jawatankuasa disiplin di setiap bahagian UMNO merupakan tindakan yang tepat supaya tidak berlaku lagi tsunami politik seperti mana yang melanda Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, situasi pada 2008 itu menyaksikan kegagalan BN membentuk majoriti dua pertiga di Parlimen berikutan kekalahan tipis calon-calon yang bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen akibat perbuatan sabotaj.
“Langkah pencegahan ini adalah amaran kepada ahli UMNO supaya tidak merugikan BN dan juga orang Melayu sendiri. Jawatankuasa disiplin ini perlu bertindak awal sebelum pembubaran Parlimen, hari penamaan calon atau pembuangan undi supaya niat jahat terhadap parti dipatahkan.
“Dengan cara ini sahaja UMNO dan BN tidak akan terperangkap dan kalah disebabkan oleh perbuatan sesetengah individu yang kecewa dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gerakan Belia 4B Kawasan Pontian di Hotel Pontian, di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas penubuhan jawatankuasa disiplin di bahagian-bahagian UMNO sebagai usaha mengelakkan tindakan khianat dan sabotaj dari dalam parti menjelang pilihan raya umum akan datang.

Friday, February 8, 2013

Ketepi perbalahan untuk jamin kemenangan BN







Generasi muda ADUN Tahan perlu PR1MA


Ahmad Maslan dan Wan Amizan Wan Abdul Razak (kanan) menyampaikan sumbangan kepada warga emas, Limah Che Bakar di Ulu Ceka, Jerantut, baru-baru ini.


JERANTUT 7 Feb. - Kerajaan diharap dapat menimbangkan peruntukan bagi membina rumah mampu milik atau Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di lapan lokasi di daerah ini bagi memenuhi keperluan generasi muda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, pembinaan perumahan itu nanti mampu menyelesaikan masalah golongan terbabit yang sebelum ini terpaksa menyewa atau tinggal bersama ibu bapa mereka.
Katanya, keluasan tanah yang diperlukan bagi membina rumah tersebut ialah sekurang-kurangnya 160 hektar termasuk di Ulu Ceka yang membabitkan kawasan seluas 40 hektar.
''Sebagai kawasan pertanian, segala kemudahan dan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik sudah meliputi hampir semua kawasan termasuk di pedalaman.

Pembinaan Stadium Felda United mula bulan depan


SEREMBAN - Pembinaan stadium bola sepak bagi pasukan Felda United di Nadi Kota dekat Bandar Tun Abdul Razak Jengka, Pahang dijangka dapat dimulakan pada awal Mac ini.
Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, Lembaga Felda pada minggu lalu telah pun melantik kontraktor bagi melaksanakan kerja membina stadium berkenaan yang mampu menampung sehingga 30,000 penonton.
"Kerja-kerja pembinaan itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun.
"Tumpuan pada masa ini adalah pembinaan stadium tersebut manakala pembinaan kemudahan sukan yang lain akan dilaksanakan dalam fasa kedua yang akhirnya akan menjadikan kawasan berkenaan sebagai kompleks sukan," katanya kepada para pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil dan Anugerah Anak Felda ke Akademi Bolasepak Cardiff City, Wales di sini, semalam.
Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.
Yang turut hadir Pengerusi 1Malaysia Cardiff City Football Academy Sdn. Bhd., Datuk Chan Tien Ghee.
Pembinaan stadium tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan sambutan Hari Peneroka di Bandar Tun Abdul Razak Jengka, Pahang pada Julai 2011.
Pada majlis semalam, seramai 50 anak Felda yang menjalani latihan pendedahan di Akademi Bola Sepak Cardiff City di Wales selama tiga minggu bermula pada 15 November tahun lalu menerima sijil masing-masing.
Mengulas mengenainya, Mohd. Isa memberitahu, Felda berharap pendedahan latihan di luar negara itu akan meningkatkan kemampuan 50 anak Felda tersebut hingga mencapai tahap peringkat kebangsaan.
"Kita mempunyai rancangan untuk menghantar lagi anak-anak Felda mendapat latihan di luar negara dalam usaha melahirkan pemain pelapis sebagai satu sumbangan Felda kepada pembangunan sukan negara," katanya.

Felda buka tiga lagi akademi

(tengah, dari kiri) Chan Tien Ghee, Mohd. Isa serta Ahmad Maslan bersama 50 anak Felda yang menerima sijil Akademi Bola Sepak Cardiff City di Seremban, semalam.


SEREMBAN - Sebanyak tiga lagi Akademi Bola Sepak Felda akan dibuka di tiga wilayah tanah rancangan itu bagi memberi peluang kepada lebih ramai anak Felda mengasah bakat masing-masing dalam sukan tersebut.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, akademi itu akan dibuka di Gua Musang, Alor Setar dan Johor.
Menurutnya, sehingga kini Felda sudah mewujudkan Akademi Bola Sepak di Kuantan sejak lima tahun lalu bertujuan mencungkil bakat-bakat baru dalam sukan berkenaan.
"Kerajaan berharap ikon bola sepak dapat dilahirkan dalam kalangan anak-anak Felda sendiri," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil dan Anugerah Anak Felda ke Akademi Bolasepak Cardiff City, Wales di sini, semalam.
Yang turut hadir Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan Pengerusi 1Malaysia Cardiff City Football Academy Sdn. Bhd., Datuk Chan Tien Ghee.
Pada majlis itu, seramai 50 anak Felda yang menjalani latihan pendedahan di Akademi Bola Sepak Cardiff City di Wales selama tiga minggu bermula pada 15 November tahun lalu menerima sijil masing-masing hari ini.
Daripada 50 pemain berkenaan, 17 orang adalah pemain Akademi Bola Sepak Felda manakala 33 lagi dipilih daripada kalangan anak peneroka di Kedah, Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan, Johor, Selangor dan Terengganu.
Ketika di sana, mereka mengadakan latihan bersama para pemain remaja daripada Akademi Bola Sepak Cardiff City selain mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan pasukan tempatan.
Program itu diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau melancarkan Liga Bola Sepak 1Malaysia- Cardiff City (Liga 1MCC) pada April tahun lalu.

Tindakan disiplin jika sabotaj parti


Ahmad Maslan (depan, tiga dari kanan) bersalaman dengan salah seorang wakil NGO Islam dalam perjumpaan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.

BUKIT MERTAJAM 5 Feb. - Jawatankuasa Disiplin UMNO perlu mengambil tindakan disiplin terhadap ahli parti yang didapati melakukan sabotaj kepada parti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, tindakan itu perlu bermula dari sekarang bagi mengelak UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya umum akan datang.
"Tidak ada guna kita mengambil tindakan disiplin kepada ahli selepas pilihan raya kerana tindakan mereka menyebabkan kita kalah dalam pilihan raya," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri perjumpaan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Taman Pauh Jaya, di sini hari ini.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, antara unsur sabotaj yang dilakukan ahli sebelum pilihan raya seperti menutup Pusat Daerah Mengundi (PDM), sanggup lari daripada tugas parti dan menyokong pembangkang.
Katanya, pengalaman pilihan raya umum 2004 menyaksikan BN tumbang di Kedah kerana wujudnya sabotaj dalam kalangan ahli parti.
Dalam perkembangan lain, Ahmad menggesa NGO Islam bersatu memperjuangkan Islam tanpa perbezaan politik.
"Ada pemimpin politik sempit pemikirannya untuk mengelirukan umat Islam dengan membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible berbahasa Melayu," katanya.

Jangan tunggu Parlimen dibubar


Ahmad Maslan mengedarkan risalah mengenai bajet dan subsidi kerajaan kepada penduduk di Pekan Damak semasa melawat Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) kawasan berkenaan di Jerantut, semalam. Kelihatan Wan Amizan Wan Abdul Razak (depan, tiga dari kiri) dan Lau Lee (empat dari kanan).

JERANTUT 4 Feb. - Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu membuka Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) bermula sekarang tanpa perlu menunggu Dewan Rakyat dibubarkan.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, semua bilik gerakan tersebut harus menjalankan 30 program dan aktiviti bagi setiap kawasan Parlimen.
"Semua PDM harus bergerak dari sekarang kerana kalau hendak tunggu Parlimen dibubarkan, kita tidak mempunyai masa mencukupi untuk membuat semakan senarai pengundi, analisis sikap pengundi, selain menyediakan carta dan data pengundi.
"Setiap PDM harus menjalankan sekurang-kurangnya satu hari satu aktiviti atau dikenali sebagai Setiap Hari Ada Program (SHAP) walaupun hanya dihadiri 30 atau 40 penduduk," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan Tinjauan Mesra Penerangan di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Jerantut di sini hari ini.
Ahmad turut membuat lawatan ke PDM Kampung Som, Pekan Damak, Kampung Koi dan Ulu Cheka.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua UMMO Bahagian Jerantut, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Datuk Lau Lee.
Menurut Ahmad, antara aktiviti yang perlu dijalankan oleh mereka ialah seperti gotong-royong, kenduri, sembang petang, menziarah pesakit dan keluarga penduduk yang meninggal dunia.
Katanya, sebanyak 36 PDM telah dikunjungi beliau di seluruh negara dan berpuas hati dengan persiapan yang dijalankan oleh petugas terbabit setakat ini.

Barisan Nasional yakin pertahan kerusi DUN Sungai Rambai


JASIN 3 Feb. - Barisan Nasional (BN) dijangka dapat mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai dengan menyasarkan untuk memperoleh majoriti besar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman berkata, keyakinan itu dibuat berdasarkan sokongan pengundi di DUN berkenaan yang rata-ratanya lebih yakin terhadap kepimpinan BN berbanding pembangkang.
Menurutnya, pengundi di DUN Sungai Rambai tampak yakin atas usaha BN membangunkan daerah itu dengan membina pelbagai infrastruktur seperti sekolah, balai raya, sistem jalan raya yang sempurna, sistem perparitan, gelanggang futsal, lampu jalan, elektrik, air dan sebagainya.
"Saya yakin pengundi di DUN Sungai Rambai akan terus menyokong BN kerana mereka tahu hanya BN yang dapat memberi khidmat bakti lebih hebat kepada rakyat berbanding pembangkang.
"Selain itu, rakyat tampak semakin yakin terhadap lonjakan transformasi serta pelbagai bentuk bantuan yang digarap oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Rakyat di DUN Sungai Rambai juga percaya jika kerajaan BN yang sedia ada dan wujud sejak merdeka ditukar, sudah pasti padah yang bakal menanti iaitu ketidaktentuan dalam pelbagai aspek hingga boleh menjejaskan kehidupan rakyat," katanya.
Beliau berucap pada majlis lawatan kerja Ketua Biro Publisiti dan Penerangan BN, Datuk Ahmad Maslan di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM), DUN Sungai Rambai di sini kelmarin.
Pada Pilihan Raya Umum 2008 yang menyaksikan berlakunya tsunami politik, BN tewas di empat buah negeri, tetapi DUN Sungai Rambai menang ke atas calon Pas dengan majoriti 2,266 undi.
Hasan berkata, bagi tujuan tersebut jentera sudah digerakkan menerusi kerjasama parti komponen dalam usaha untuk memastikan sasaran BN meraih mandat yang lebih kukuh dalam PRU-13.
Justeru katanya, rakyat akan terus diyakinkan bahawa BN mampu melakukan pelbagai perubahan untuk memberi kehidupan lebih selesa secara berterusan.

Rakyat Kelantan mahu perubahan


PASIR PUTEH 1 Feb. - Keinginan rakyat Kelantan untuk melakukan perubahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 semakin jelas kelihatan berdasarkan sambutan hebat dalam setiap majlis yang diadakan oleh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) di negeri ini.
Terbaharu melibatkan majlis Himpunan Rakyat 1Malaysia bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Petai malam tadi yang menarik kehadiran hampir 40,000 orang.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dapat dilihat air muka rakyat yang hadir bahawa mereka sangat dahagakan perubahan.
Katanya, rakyat sudah tidak tahan lagi dengan Kerajaan Pas Kelantan dan tidak sabar untuk menukar kerajaan itu yang sudah 22 tahun memerintah.
"Kita tidak mahu lagi dibuai dengan janji kosong Pas, kita tidak mahu lagi ditipu. Janji membina jambatan, stadium, lebuh raya dan banyak lagi, ke mana semua janji itu?
"Kita sudah tidak tahan ditipu, masanya tiba untuk kita menggempur Kelantan dengan melakukan perubahan," katanya ketika berucap pada majlis itu di sini.
Yang turut hadir isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen; Setiausaha Agung UMNO; Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Awang Adek Hussein.
Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, sudah sampai masanya rakyat Kelantan membina harapan baharu dan harapan itu telah dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada rakyat.
Katanya, Perdana Menteri membawa harapan baharu kepada rakyat negeri ini dengan menjanjikan tujuh projek mega iaitu pembinaan Lebuh Raya Kuala Krai-Kota Bharu, stadium, masjid terbesar, sistem pengangkutan Rapid Kota Bharu, perumahan rakyat, kampus bandar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan menyelesaikan masalah air.
Jelasnya, setiap apa dijanjikan itu akan ditepati, bukannya angan- angan kosong seperti yang dilakukan kerajaan negeri selama ini.

Bilik Gerakan PDM diarah buka


MELAKA 1 Feb. - Barisan Nasional (BN) mengarahkan semua 7,531 Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh negara dibuka berkuat kuasa hari ini.
Ketua Biro Publisiti dan Penerangan BN, Datuk Ahmad Maslan berkata, arahan itu adalah mandat daripada Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu bilik gerakan dibuka sebelum Parlimen dibubarkan.
"Perdana Menteri berpesan, pilihan raya kali ini adalah pilihan raya luar biasa dan bukan pilihan raya biasa. Jika pilihan raya biasa, buka bilik gerakan apabila Parlimen dibubarkan.
"Tetapi apabila Pengerusi BN kata ini adalah pilihan raya luar biasa oleh itu kita kena buat persiapan luar biasa iaitu Parlimen belum bubar bilik gerakan sudah dibuka," katanya selepas membuat lawatan kerja di empat PDM di Parlimen Jasin dan Parlimen Kota Melaka di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menegaskan, arahan itu perlu dipatuhi oleh semua kepimpinan PDM di seluruh negara.
Justeru katanya, bilik gerakan itu akan dipantau oleh kepimpinan di peringkat bahagian bersama jawatankuasa BN di Parlimen masing-masing.
Menurutnya, arahan untuk membuka bilik gerakan PDM pada hari ini telah dimaklumkan lebih awal di seluruh 220 Parlimen dan melengkapkan pengisian ke arah menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
"Perdana Menteri minta PDM mesti dilengkapkan dengan data-data maklumat terkini mengenai jumlah pengundi, senarai pengundi sama ada hitam, kelabu atau putih mesti dipantau. Juga mesti ada keputusan pilihan raya lalu," katanya.
Di samping itu kata Ahmad lagi, PDM mesti mempunyai carta ahli jawatankuasa dengan 19 potfolio termasuk lima penjawat utama iaitu nama ketua PDM, timbalannya, setiausaha, bendahari dan ketua penerangan.
Beliau menambah, PDM itu wajar dibuka setiap hari dengan sistem penggiliran petugas dibuat bagi memastikan bilik gerakan itu mempunyai orang untuk membuat sebarang urusan berkaitan.
Ditanya tindakan yang akan diambil sekiranya ada PDM tidak dibuka Ahmad berkata, tidak ada sebarang tindakan akan diambil.
Sebaliknya kata beliau, jika ada ahli parti BN yang membuat pengumuman bilik gerakan akan ditutup, pucuk pimpinan parti sama ada di peringkat Bahagian atau Pusat akan mengambil perhatian terhadap perkara tersebut.

7,531 PDM mula beroperasi


JASIN 1 Feb. - Sebanyak 7,531 Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Barisan Nasional (BN) di seluruh negara mula beroperasi hari ini.
Ketua Biro Publisiti dan Penerangan Barisan Nasional (BN), Datuk Ahmad Maslan berkata, setiap negeri wajib membuka PDM bagi menjalankan gerak kerja sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak lama lagi.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Bilik Gerakan PDM Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai hari ini.