Thursday, February 28, 2013

Abdul Khalid mahu tunjuk kuasa



SHAH ALAM 23 Feb. - Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dianggap sengaja mahu menunjukkan kuasa apabila bertindak menggantung pelaksanaan projek jalan dan prasarana oleh Kerajaan Persekutuan di negeri itu.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata, tindakan itu hanya kerana Mahkamah Tinggi memutuskan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) tidak ada kuasa mengeluarkan notis mengarahkan syarikat penyelenggara kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) meruntuhkan tiang dan menutup kamera AES di dua lebuh raya di Selangor.
Katanya, tindakan tersebut dilakukan semata-mata kerana politik sedangkan banyak projek yang dibawa Kerajaan Pusat seperti pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Serendah dan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) memberi manfaat kepada rakyat.
"Kuasa terakhir adalah daripada kerajaan negeri untuk memberikan kelulusan merancang kepada pembinaan kampus UiTM, yang cari duit adalah Kerajaan Pusat, itu pun dia tidak mahu beri.
"Apabila kalah dalam mahkamah, dia hendak tunjuk kuasa apabila mahu menggantung kelulusan yang diberikan kepada projek-projek Kerajaan Persekutuan," katanya selepas merasmikan Perhimpunan Barisan 1Malaysia di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dan para pemimpin belia dari seluruh negeri itu.
Perhimpunan itu menarik kira-kira 3,500 peserta membabitkan 200 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertekad mahu memberi sokongan padu kepada perjuangan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.
Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, Abdul Khalid juga sering kali bercakap tidak serupa bikin ekoran beberapa kenyataannya yang tidak selaras dengan tindakannya.

No comments:

Post a Comment