Friday, February 8, 2013

Bilik Gerakan PDM diarah buka


MELAKA 1 Feb. - Barisan Nasional (BN) mengarahkan semua 7,531 Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh negara dibuka berkuat kuasa hari ini.
Ketua Biro Publisiti dan Penerangan BN, Datuk Ahmad Maslan berkata, arahan itu adalah mandat daripada Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu bilik gerakan dibuka sebelum Parlimen dibubarkan.
"Perdana Menteri berpesan, pilihan raya kali ini adalah pilihan raya luar biasa dan bukan pilihan raya biasa. Jika pilihan raya biasa, buka bilik gerakan apabila Parlimen dibubarkan.
"Tetapi apabila Pengerusi BN kata ini adalah pilihan raya luar biasa oleh itu kita kena buat persiapan luar biasa iaitu Parlimen belum bubar bilik gerakan sudah dibuka," katanya selepas membuat lawatan kerja di empat PDM di Parlimen Jasin dan Parlimen Kota Melaka di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menegaskan, arahan itu perlu dipatuhi oleh semua kepimpinan PDM di seluruh negara.
Justeru katanya, bilik gerakan itu akan dipantau oleh kepimpinan di peringkat bahagian bersama jawatankuasa BN di Parlimen masing-masing.
Menurutnya, arahan untuk membuka bilik gerakan PDM pada hari ini telah dimaklumkan lebih awal di seluruh 220 Parlimen dan melengkapkan pengisian ke arah menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
"Perdana Menteri minta PDM mesti dilengkapkan dengan data-data maklumat terkini mengenai jumlah pengundi, senarai pengundi sama ada hitam, kelabu atau putih mesti dipantau. Juga mesti ada keputusan pilihan raya lalu," katanya.
Di samping itu kata Ahmad lagi, PDM mesti mempunyai carta ahli jawatankuasa dengan 19 potfolio termasuk lima penjawat utama iaitu nama ketua PDM, timbalannya, setiausaha, bendahari dan ketua penerangan.
Beliau menambah, PDM itu wajar dibuka setiap hari dengan sistem penggiliran petugas dibuat bagi memastikan bilik gerakan itu mempunyai orang untuk membuat sebarang urusan berkaitan.
Ditanya tindakan yang akan diambil sekiranya ada PDM tidak dibuka Ahmad berkata, tidak ada sebarang tindakan akan diambil.
Sebaliknya kata beliau, jika ada ahli parti BN yang membuat pengumuman bilik gerakan akan ditutup, pucuk pimpinan parti sama ada di peringkat Bahagian atau Pusat akan mengambil perhatian terhadap perkara tersebut.

No comments:

Post a Comment