Friday, February 8, 2013

Felda buka tiga lagi akademi

(tengah, dari kiri) Chan Tien Ghee, Mohd. Isa serta Ahmad Maslan bersama 50 anak Felda yang menerima sijil Akademi Bola Sepak Cardiff City di Seremban, semalam.


SEREMBAN - Sebanyak tiga lagi Akademi Bola Sepak Felda akan dibuka di tiga wilayah tanah rancangan itu bagi memberi peluang kepada lebih ramai anak Felda mengasah bakat masing-masing dalam sukan tersebut.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, akademi itu akan dibuka di Gua Musang, Alor Setar dan Johor.
Menurutnya, sehingga kini Felda sudah mewujudkan Akademi Bola Sepak di Kuantan sejak lima tahun lalu bertujuan mencungkil bakat-bakat baru dalam sukan berkenaan.
"Kerajaan berharap ikon bola sepak dapat dilahirkan dalam kalangan anak-anak Felda sendiri," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil dan Anugerah Anak Felda ke Akademi Bolasepak Cardiff City, Wales di sini, semalam.
Yang turut hadir Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan Pengerusi 1Malaysia Cardiff City Football Academy Sdn. Bhd., Datuk Chan Tien Ghee.
Pada majlis itu, seramai 50 anak Felda yang menjalani latihan pendedahan di Akademi Bola Sepak Cardiff City di Wales selama tiga minggu bermula pada 15 November tahun lalu menerima sijil masing-masing hari ini.
Daripada 50 pemain berkenaan, 17 orang adalah pemain Akademi Bola Sepak Felda manakala 33 lagi dipilih daripada kalangan anak peneroka di Kedah, Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan, Johor, Selangor dan Terengganu.
Ketika di sana, mereka mengadakan latihan bersama para pemain remaja daripada Akademi Bola Sepak Cardiff City selain mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan pasukan tempatan.
Program itu diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau melancarkan Liga Bola Sepak 1Malaysia- Cardiff City (Liga 1MCC) pada April tahun lalu.

No comments:

Post a Comment