Thursday, February 28, 2013

Jaminan beri BR1M bimbangkan pembangkang



HULU LANGAT 14 Feb. - Jaminan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak akan dihentikan malah akan disusuli pada tahun mendatang dilihat menggusarkan pihak pembangkang terutama dalam cubaan mereka meraih sokongan rakyat.
Ketua Biro Publisiti dan Penerangan Barisan Nasional (BN), Datuk Ahmad Maslan berkata, meskipun pembangkang menganggap pemberian BR1M merupakan rasuah kerajaan bagi membeli undi rakyat, namun majoriti penerima sedar bahawa bantuan itu merupakan usaha kerajaan mengurangkan beban yang ditanggung rakyat.
"Sehubungan itu jaminan Datuk Seri Najib tersebut sudah tentu dialu-alukan dan pastinya disambut gembira oleh rakyat. Namun ini pastinya dibimbangi pembangkang yang hanya mampu berjanji, namun akhirnya dimungkiri.
"Diharapkan kerajaan turut dapat meneruskan pemberian bantuan-bantuan lain seperti Bantuan Awal Persekolahan dan Baucar Buku 1Malaysia agar pulangan semula kepada rakyat dapat dinikmati masyarakat keseluruhan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan tinjauan mesra penerangan serta agihan sumbangan kepada warga emas dan ibu tunggal di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Semenyih di Dewan Komuniti Taman Semenyih Indah di sini.
Yang hadir sama Pengerusi Penyelaras BN Parlimen Hulu Langat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abd. Aziz.
Perdana Menteri ketika berucap dalam sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Johor semalam memberi jaminan BR1M tidak akan dihentikan sebaliknya akan disusuli dengan BR1M 3, BR1M 4 dan seterusnya.
Menurut Najib, pemberian bantuan itu diteruskan kerana seperti 139 produk 1Malaysia yang lain, BR1M adalah pulangan semula kepada rakyat hasil kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi.
Sementara itu menurut Ahmad, meskipun ada pihak menanggap nilai RM500 bantuan BR1M tersebut adalah kecil, namun jika diteliti bantuan berkenaan mampu menjana ekonomi setempat.
"Kita perlu tahu bahawa majoriti penerima BR1M ini tidak menyimpan bantuan tunai tersebut di bank sebaliknya dibelanjakan untuk kegunaan harian sama ada di kedai runcit, pasar tani mahupun gerai makan. Ini sekali gus meningkatkan ekonomi setempat," katanya.
Dalam pada itu ujarnya, sejak awal Januari lalu, lebih 80 PDM telah dilawati melibatkan 42 Parlimen di seluruh negara.
"Persiapan yang dilakukan oleh PDM tersebut dilihat amat memuaskan malah ada yang telah membuka bilik gerakan masing-masing lebih awal meskipun arahan menetapkan supaya bilik gerakan dibuka pada 1 Februari lalu," katanya.

No comments:

Post a Comment