Friday, February 8, 2013

Jangan tunggu Parlimen dibubar


Ahmad Maslan mengedarkan risalah mengenai bajet dan subsidi kerajaan kepada penduduk di Pekan Damak semasa melawat Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) kawasan berkenaan di Jerantut, semalam. Kelihatan Wan Amizan Wan Abdul Razak (depan, tiga dari kiri) dan Lau Lee (empat dari kanan).

JERANTUT 4 Feb. - Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu membuka Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) bermula sekarang tanpa perlu menunggu Dewan Rakyat dibubarkan.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, semua bilik gerakan tersebut harus menjalankan 30 program dan aktiviti bagi setiap kawasan Parlimen.
"Semua PDM harus bergerak dari sekarang kerana kalau hendak tunggu Parlimen dibubarkan, kita tidak mempunyai masa mencukupi untuk membuat semakan senarai pengundi, analisis sikap pengundi, selain menyediakan carta dan data pengundi.
"Setiap PDM harus menjalankan sekurang-kurangnya satu hari satu aktiviti atau dikenali sebagai Setiap Hari Ada Program (SHAP) walaupun hanya dihadiri 30 atau 40 penduduk," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan Tinjauan Mesra Penerangan di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Jerantut di sini hari ini.
Ahmad turut membuat lawatan ke PDM Kampung Som, Pekan Damak, Kampung Koi dan Ulu Cheka.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua UMMO Bahagian Jerantut, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Datuk Lau Lee.
Menurut Ahmad, antara aktiviti yang perlu dijalankan oleh mereka ialah seperti gotong-royong, kenduri, sembang petang, menziarah pesakit dan keluarga penduduk yang meninggal dunia.
Katanya, sebanyak 36 PDM telah dikunjungi beliau di seluruh negara dan berpuas hati dengan persiapan yang dijalankan oleh petugas terbabit setakat ini.

No comments:

Post a Comment