Thursday, February 28, 2013

Pembangkang amal pecah dan perintah ala penjajah


KLUANG 17 Feb. - Pembangkang mengamalkan kaedah pecah dan perintah dalam strategi politik mereka, meniru kaedah yang dipraktik penjajah terhadap rakyat negara ini tidak lama dahulu, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan.
Ahmad, yang juga Ketua Penerangan UMNO, berkata kaedah yang diamal pembangkang itu amat merbahaya untuk masa depan negara.
"Mereka menggunakan kaedah penjajah dahulu iaitu pecah dan perintah untuk mendapatkan kuasa. Kaedah pecah dan perintah itu amat merbahaya kepada masa depan negara kerana ia akan mewujudkan perpecahan di antara masyarakat negara ini."
"Apa yang dilakukan oleh mereka adalah amat tidak wajar," katanya kepada pemberita selepas penutupan perhimpunan Barisan 1Malaysia oleh Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman di sini hari ini.
Beliau berkata menerusi kaedah pecah dan perintah, pembangkang cuba memecahbelahkan perpaduan kaum Melayu dan umat Islam negara ini dengan menuduh anggota UMNO sebagai murtad serta ingkar terhadap ajaran agama Islam.
Ahmad berkata pembangkang, menerusi strategi politik pecah dan perintah, cuba memporakperandakan keharmonian agama negara ini dengan mendesak supaya penganut agama Kristian dibenar menggunakan kalimah Allah dalam kitab Bible.
"Pembangkang juga cuba memecahkan keyakinan rakyat terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya dengan mengatakan kononnya suruhanjaya itu tidak bersih dan telus dalam mengendalikan pilihan raya umum," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment