Friday, February 8, 2013

Pembinaan Stadium Felda United mula bulan depan


SEREMBAN - Pembinaan stadium bola sepak bagi pasukan Felda United di Nadi Kota dekat Bandar Tun Abdul Razak Jengka, Pahang dijangka dapat dimulakan pada awal Mac ini.
Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, Lembaga Felda pada minggu lalu telah pun melantik kontraktor bagi melaksanakan kerja membina stadium berkenaan yang mampu menampung sehingga 30,000 penonton.
"Kerja-kerja pembinaan itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun.
"Tumpuan pada masa ini adalah pembinaan stadium tersebut manakala pembinaan kemudahan sukan yang lain akan dilaksanakan dalam fasa kedua yang akhirnya akan menjadikan kawasan berkenaan sebagai kompleks sukan," katanya kepada para pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil dan Anugerah Anak Felda ke Akademi Bolasepak Cardiff City, Wales di sini, semalam.
Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.
Yang turut hadir Pengerusi 1Malaysia Cardiff City Football Academy Sdn. Bhd., Datuk Chan Tien Ghee.
Pembinaan stadium tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan sambutan Hari Peneroka di Bandar Tun Abdul Razak Jengka, Pahang pada Julai 2011.
Pada majlis semalam, seramai 50 anak Felda yang menjalani latihan pendedahan di Akademi Bola Sepak Cardiff City di Wales selama tiga minggu bermula pada 15 November tahun lalu menerima sijil masing-masing.
Mengulas mengenainya, Mohd. Isa memberitahu, Felda berharap pendedahan latihan di luar negara itu akan meningkatkan kemampuan 50 anak Felda tersebut hingga mencapai tahap peringkat kebangsaan.
"Kita mempunyai rancangan untuk menghantar lagi anak-anak Felda mendapat latihan di luar negara dalam usaha melahirkan pemain pelapis sebagai satu sumbangan Felda kepada pembangunan sukan negara," katanya.

No comments:

Post a Comment