Friday, February 8, 2013

Rakyat Kelantan mahu perubahan


PASIR PUTEH 1 Feb. - Keinginan rakyat Kelantan untuk melakukan perubahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 semakin jelas kelihatan berdasarkan sambutan hebat dalam setiap majlis yang diadakan oleh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) di negeri ini.
Terbaharu melibatkan majlis Himpunan Rakyat 1Malaysia bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Petai malam tadi yang menarik kehadiran hampir 40,000 orang.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dapat dilihat air muka rakyat yang hadir bahawa mereka sangat dahagakan perubahan.
Katanya, rakyat sudah tidak tahan lagi dengan Kerajaan Pas Kelantan dan tidak sabar untuk menukar kerajaan itu yang sudah 22 tahun memerintah.
"Kita tidak mahu lagi dibuai dengan janji kosong Pas, kita tidak mahu lagi ditipu. Janji membina jambatan, stadium, lebuh raya dan banyak lagi, ke mana semua janji itu?
"Kita sudah tidak tahan ditipu, masanya tiba untuk kita menggempur Kelantan dengan melakukan perubahan," katanya ketika berucap pada majlis itu di sini.
Yang turut hadir isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen; Setiausaha Agung UMNO; Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Awang Adek Hussein.
Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, sudah sampai masanya rakyat Kelantan membina harapan baharu dan harapan itu telah dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada rakyat.
Katanya, Perdana Menteri membawa harapan baharu kepada rakyat negeri ini dengan menjanjikan tujuh projek mega iaitu pembinaan Lebuh Raya Kuala Krai-Kota Bharu, stadium, masjid terbesar, sistem pengangkutan Rapid Kota Bharu, perumahan rakyat, kampus bandar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan menyelesaikan masalah air.
Jelasnya, setiap apa dijanjikan itu akan ditepati, bukannya angan- angan kosong seperti yang dilakukan kerajaan negeri selama ini.

No comments:

Post a Comment