Friday, February 8, 2013

Tindakan disiplin jika sabotaj parti


Ahmad Maslan (depan, tiga dari kanan) bersalaman dengan salah seorang wakil NGO Islam dalam perjumpaan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.

BUKIT MERTAJAM 5 Feb. - Jawatankuasa Disiplin UMNO perlu mengambil tindakan disiplin terhadap ahli parti yang didapati melakukan sabotaj kepada parti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, tindakan itu perlu bermula dari sekarang bagi mengelak UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya umum akan datang.
"Tidak ada guna kita mengambil tindakan disiplin kepada ahli selepas pilihan raya kerana tindakan mereka menyebabkan kita kalah dalam pilihan raya," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri perjumpaan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Taman Pauh Jaya, di sini hari ini.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, antara unsur sabotaj yang dilakukan ahli sebelum pilihan raya seperti menutup Pusat Daerah Mengundi (PDM), sanggup lari daripada tugas parti dan menyokong pembangkang.
Katanya, pengalaman pilihan raya umum 2004 menyaksikan BN tumbang di Kedah kerana wujudnya sabotaj dalam kalangan ahli parti.
Dalam perkembangan lain, Ahmad menggesa NGO Islam bersatu memperjuangkan Islam tanpa perbezaan politik.
"Ada pemimpin politik sempit pemikirannya untuk mengelirukan umat Islam dengan membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible berbahasa Melayu," katanya.

No comments:

Post a Comment