Saturday, March 23, 2013

BN agih 3,000 kemeja T

Ahmad Maslan (kiri) menunjukkan kemeja T kepada para penderma Tabung Wira Lahad Datu semasa semasa pelancarannya di Dewan Yayasan Sarawak, Kuching, kelmarin.



KUCHING 20 Mac - Barisan Nasional (BN) negeri menyediakan sebanyak 3,000 helai kemeja T untuk orang ramai yang memberi sumbangan dalam Tabung Wira Lahad Datu, Sabah di sini semalam.
Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN, Datuk Ahmad Maslan berkata, pemberian di bawah inisiatif Unit Media Baru (UMB) BN itu merupakan simbolik tanda penghargaan kepada masyarakat yang mengiktiraf pengorbanan pasukan keselamatan negara.
Katanya, pemberian itu secara tidak langsung mampu mendorong penderma terus menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelaan.
"Ini merupakan antara usaha BN dalam menghargai setiap nilai sumbangan yang diberikan oleh orang ramai bagi membantu keluarga wira-wira yang terkorban dalam serangan pengganas di Lahad Datu dan Semporna, Sabah," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Taklimat Penceramah Penerangan dan melancarkan kemeja T tersebut di Dewan Yayasan Sarawak di sini semalam.
Mereka yang memberi sumbangan dalam tabung tersebut akan menerima kemeja T berwarna biru yang mempunyai empat logo parti komponen BN negeri iaitu Parti Pesaka Bumiputra Bersatu Rakyat Sarawak (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Rakyat Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menegaskan rakyat Malaysia perlu terus memberi sokongan kepada pasukan keselamatan mempertahankan kedaulatan negara dalam Ops Daulat.
Katanya, walaupun pakatan pembangkang mendakwa operasi berkenaan hanya sandiwara, realitinya ialah 10 anggota pasukan keselamatan negara dan lebih 60 penceroboh pengganas Kiram telah terkorban di medan pertempuran.
"Apa yang berlaku di Sabah itu bukan sandiwara, ini adalah perkara yang benar-benar berlaku. Tidak ada orang yang ingin mati kalau 'lakonan'.
"Kalau dikatakan sandiwara, ini bermakna pakatan pembangkang menggelar wira-wira negara yang terkorban itu adalah 'pelakon'," katanya.

No comments:

Post a Comment