Sunday, March 31, 2013

Gerakan khas pertahan Gelang Patah

Ahmad Maslan (dua dari kiri) melancarkan Sukarelawan Muda BN Parlimen Pontian sempena Feista Mesra Belia Parlimen Pontian di Dataran Jalok, Benut, Johor


PONTIAN 25 Mac - Biro Penerangan dan Publisiti Barisan Nasional (BN) akan melancarkan gerakan khas di Gelang Patah bagi memastikan kerjaya politik Penasihat DAP, Lim Kit Siang berakhir di kawasan Parlimen tersebut.
Pengerusinya, Datuk Ahmad Maslan berkata, beliau akan turun ke Gelang Patah dalam masa terdekat bagi menemui jentera penerangan BN dan UMNO supaya cita-cita tinggi Kit Siang tidak akan tercapai kerana kawasan tersebut wajib dipertahan memandangkan ia merupakan lokasi pusat pentadbiran kerajaan negeri dan projek pembangunan mega.
"Selain Parlimen Gelang Patah, BN juga akan merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai serta mempertahankan kerusi DUN Nusajaya yang dimenangi pada tahun 2008 lalu. BN akan guna segala daya untuk pertahan Gelang Patah daripada jatuh ke tangan pembangkang yang mahu menawan Johor.
"Hasrat dan impian mereka itu sebenarnya seperti mimpi siang hari walaupun pembangkang mendakwa mampu menawan 15 kawasan Parlimen di Johor," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Fiesta Mesra Belia Parlimen Pontian di Dataran Jalok, Benut di sini semalam.
Ahmad yang juga Ketua Penerangan UMNO turut melancarkan Sukarelawan Muda BN Parlimen Pontian yang disertai oleh kira-kira 400 peserta bagi persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Menurutnya, gerakan khas tersebut akan menampilkan kelainan dalam usaha melumpuhkan kekuatan lawan melalui penganjuran pelbagai program bagi mendekati hati pengundi Gelang Patah selain perhatian kepada penerangan isu oleh penceramah-penceramah hebat yang bakal memberi penjelasan tentang kedudukan pakatan pembangkang pada hari ini.
"Dakwaan BN akan hilang 15 kerusi Parlimen di Johor adalah perang saraf, BN dan UMNO Johor tidak gentar atau bimbang kerana kita berada di landasan yang kukuh untuk mempertahankan semua kerusi yang dimaksudkan malah rakyat negeri ini sudah sebati dengan BN dan UMNO.
"Isu berbangkit yang ditimbulkan oleh pihak pembangkang seperti isu pembangunan di Pengerang telah dapat diatasi oleh kerajaan negeri, begitu juga dengan beberapa isu lain. Ia sekali gus menjadikan hasrat pakatan pembangkang menawan Johor dalam PRU-13 sebagai satu angan-angan kosong," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment